Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Tekad bangun, pasarkan perniagaan klien dengan analisis data

Oct 22, 2023 | 05:31 AM



Minatnya dalam penyelidikan dan data sejak kecil lagi telah membentuk keputusan Cik Hamidah Aidillah Mustafa, 38 tahun, untuk memulakan sebuah syarikat teknologi sendiri dan baru-baru ini tersenarai dalam 100 Wanita Singapura dalam Teknologi (SG100WIT).

Senarai tersebut, kendalian Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Persatuan Komputer Singapura (SCS), mengiktirafkan 100 wanita di Singapura atas kejayaan dan sumbangan mereka dalam bidang teknologi.

Syarikat Cik Hamidah, dipanggil Parrot Social yang ditubuhkan pada 2018, adalah sebuah ​​firma analisis data yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk pemasaran dan pembangunan perniagaan.

“Dari kecil lagi, saya suka menyelidik. Saya suka meneliti tema dan mengkaji data dan oleh itu saya rasa analisis data sangat sesuai untuk saya.

“Saya juga suka proses mendengar masalah orang dan kemudian memahaminya supaya saya boleh memikirkan jalan penyelesaian,” jelas Cik Hamidah.

Menurutnya, khidmat yang ditawarkan syarikatnya membolehkan klien, termasuk syarikat kecil dan sederhana (SME) dan syarikat berbilang negara (MNC), meramalkan trend atau arah aliran perniagaan pada masa depan.

Dengan pengetahuan itu, Cik Hamidah menasihatkan kliennya untuk mengambil keputusan perniagaan yang tepat, sekali gus membantu mereka menjana untung.

Sebagai contoh, Parrot Social membantu salah satu kliennya, iaitu sebuah kafe yang baru ditubuhkan, untuk memahami apa yang pelanggan suka makan dan minum, serta jenis suasana yang disukai.

“Di samping itu, kami juga membantu mengenal pasti siapa pesaing mereka, apa yang pesaing mereka melakukan dan kami dapat mengeluarkan data dan kemudian memberi contoh supaya mereka memahami makanan dan minuman apa harus dijual.

“Mereka juga dapat belajar daripada kesilapan pesaing dan memperbaiki proses mereka sendiri supaya mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk kekal relevan.

“Jadi, saya rasa analisis data membolehkan klien kami mewajarkan keputusan perniagaan mereka kerana terdapat bukti ketara,” ujar Cik Hamidah.

Namun, beliau berkata konsep analisis data tidak benar-benar difahami dalam kalangan orang awam ketika beliau pertama kali memulakan syarikatnya lima tahun lalu.

Salah satu tujuan Cik Hamidah adalah untuk merapatkan jurang dan membawa analisis data kepada lebih ramai orang supaya mereka memahaminya dengan lebih mudah dan sedar ia juga berguna untuk diri atau perniagaan mereka.

“Ia adalah tentang media sosial, pengurusan reputasi, analisis sentimen, penyelidikan pasaran, cerapan pasaran dan lain lagi.

“Analisis data bukan hanya untuk organisasi besar, tetapi sebenarnya ia sangat berguna untuk syarikat yang lebih kecil dan untuk pemilik tunggal juga,” katanya.

Apabila ditanya perasaan beliau tersenarai dalam SG100WIT, Cik Hamidah tersipu-sipu dan menyatakan beliau melihat tugasnya menguruskan Parrot Social sebagai satu tanggungjawab dan tidak menyangka menerima pengiktirafan itu.

“Saya benar-benar malu apabila menerima anugerah SG100WIT kerana ramai orang mengatakan saya seorang pemberi inspirasi tetapi saya tidak melihatnya sebegitu.

“Sebagai pemilik syarikat, set minda saya tertumpu kepada tanggungjawab saya kepada pekerja dan pasukan, kepada rakan kongsi perniagaan dan rakan sekerja.

“Menguruskan Parrot Social adalah satu amanah. Saya melihatnya sebagai satu tanggungjawab untuk melakukan kerja yang terbaik untuk klien saya,” tambah Cik Hamidah.

Beliau berkata terdapat ramai wanita Melayu menceburi industri teknologi, yang sering kali dikuasai golongan lelaki dan yakin jumlah itu akan meningkat pada masa depan.

Cik Hamidah juga yakin bahawa lebih ramai wanita Melayu akan menerajui firma teknologi pada tahun-tahun akan datang.

“Ini kerana gadis dan orang muda kini menggunakan teknologi dan media sosial seperti Instagram dan TikTok dalam kehidupan harian mereka sehingga ia sudah menjadi kebiasaan.

“Jadi, ia lebih mudah untuk mereka memasuki industri teknologi berbanding saya yang perlu mempelajarinya dari mula.

“Bagaimanapun, saya rasa sesiapa yang ingin memasuki industri ini tidak boleh ada pengetahuan dalam satu perkara sahaja.

“Adalah penting mempunyai pengetahuan mendalam tentang satu perkara tetapi mereka juga perlu mempunyai pengetahuan yang luas. Ini akan membolehkan mereka melihat dan meramalkan arah aliran perniagaan,” jelas Cik Hamidah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >