Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: RENTAK MILENIAL

'Teman Warisan'

Pelajar peringkat Sarjana bidang Pengajian Melayu di NUS bersemangat teruskan usaha martabatkan warisan, budaya Melayu, selain berkongsi pengetahuan dengan generasi mendatang
Nov 23, 2021 | 05:30 AM



WARISAN adalah sesuatu yang merangkumi kehidupan harian kita, bukan sekadar diletakkan dalam lipatan sejarah sesebuah masyarakat, menurut Cik Liyana Nasyita Shukarman.



Bagi memperjuangkan warisan, bahasa dan budaya Melayu, Cik Liyana banyak melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, daripada tarian hingga kepada beberapa perbincangan tentang warisan di Singapura.



Baru-baru ini, Cik Liyana, 27 tahun, dilantik sebagai Teman Warisan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF).



Dengan pelantikan itu, beliau berharap dapat meneruskan bukan sahaja usaha memartabatkan warisan dan budaya Melayu, malah berkongsi pengetahuannya dengan generasi akan datang.



Cik Liyana berkata, sebagai anak muda beliau akur cabaran yang dihadapi dalam melestarikan warisan di sini disebabkan pemahaman warisan serta cara tradisionalisme diamalkan.



Penyimpangan besar ini terjadi apabila terdapat cara baru dalam menggunakan bahasa atau cara berlainan dalam mempraktikkan seni.



"Ini satu cabaran bagi saya kerana seni dan budaya Melayu merupakan sesuatu yang seharusnya 'hidup'.



"Jika tradisionalisme dalam warisan, seni dan budaya kita tidak dibincangkan dan difikir semula, maka warisan kita akan lesu dan ia tidak akan mencernakan budaya yang progresif dan relevan," katanya.



Mengulas mengenai usahanya untuk mengatasi cabaran tersebut, beliau sering mengambil sikap terbuka dan ikut serta dalam perbincangan dengan penggiat seni dan penerima seni seperti penonton atau pengamat seni.



Mempertahankan dan melestarikan warisan dengan caranya sendiri, Cik Liyana telah berkecimpung dalam tarian Melayu sejak 2012.



Selain itu, lulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Nasional Singapura (NUS) itu juga banyak melibatkan diri dalam perbincangan tentang bahasa dan sastera Melayu.



Antara perbincangan yang pernah diikutinya termasuk Pesta Puisi Singapura dan Siri Sembang Ilmu anjuran MHF.



Sebagai penyokong sastera, Cik Liyana, yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di NUS dalam bidang Pengajian Melayu, kini melakukan penyelidikan tentang penghasilan pengetahuan peribumi oleh penulis Melayu pada abad ke-19.



Beliau menganggap ilmu terhadap bahasa, budaya dan seni Melayu sebagai satu aset yang berharga, terutama dalam masyarakat majmuk di Singapura dan Nusantara, lantas beliau bermotivasi untuk terus menyumbang kepada warisan Melayu.



"Saya bukanlah seorang pakar atau mahir dalam semua aspek bahasa, budaya dan seni Melayu.



"Tetapi, pendedahan dan ilmu yang saya pelajari sebagai seorang penari dan pelajar peringkat Sarjana sedikit sebanyak memberi saya motivasi untuk mendalami hal-hal ataupun dokumentasi yang masih harus diisi," kata anak sulung dalam keluarga lima beradik itu.



"Warisan bukanlah sesuatu yang lama ataupun ditelan zaman. Kita mempunyai jati warisan dalam diri kita semua, sama ada melalui bahasa, makanan, pakaian dan sebagainya. Kita juga harus akur bahawa warisan perlu juga ikut peredaran masa.



"Jadi, apa yang kita lakukan dan bincangkan hari ini menjadi warisan bagi generasi muda masa depan," ujarnya.




SEKILAS BIODATA



LIYANA NASYITA SHUKARMAN



- 27 tahun



- Anak sulung daripada lima orang beradik



- Sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di NUS dalam bidang Pengajian Melayu



PENGLIBATAN DALAM MASYARAKAT:



- Berkecimpung dalam tarian Melayu antara 2012 hingga 2020



- Pesta Puisi Singapura



- Sembang Ilmu anjuran MHF



HARAPAN SEBAGAI TEMAN WARISAN:



- Ingin pupuk minat dan sayang terhadap bahasa, budaya dan seni Melayu di Singapura



- Meningkatkan pengetahuan mengenai warisan Melayu dalam kalangan masyarakat



- Mendokumentasi dan menjalankan penyelidikan mengenai warisan Melayu di sini




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >