Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tiada keperluan sekatan meluas bendung cacar monyet: Pakar

Jul 26, 2022 | 05:30 AM



PAKAR di Singapura berkata tiada keperluan untuk sebarang sekatan kesihatan yang besar atau meluas setakat ini untuk membendung penularan cacar monyet.



Ini selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai satu kecemasan kesihatan sejagat Sabtu lalu.



Lebih 16,000 kes telah dikesan di 75 negara dan wilayah, naik daripada sekitar 3,000 hujung bulan lalu.



Lapan kes telah dilaporkan di Singapura hingga semalam, kesemuanya melibatkan lelaki.



Pegawai saintifik di Pusat Kesiapsiagaan Wabak di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Dr Khoo Yoong Khean, menerangkan bahawa cacar monyet adalah penyakit yang "sangat berbeza" berbanding Covid-19.



Beliau berkata, tidak seperti Covid-19, yang boleh disebarkan melalui titisan di udara, cacar monyet pada dasarnya disebarkan melalui kontak rapat dan berpanjangan dengan orang yang dijangkiti.



"Oleh itu, tidak mungkin akan ada penutupan atau sekatan pergerakan atau sosial berskala besar buat masa ini," katanya, kepada akhbar The Straits Times.



Naib dekan kesihatan global di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura, Profesor Madya Hsu Li Yang, bersependapat.



"Langkah-langkah sedemikian mesti berkesan, dan mesti mendatangkan kurang mudarat daripada penyakit itu...



"Saya tidak dapat memikirkan langkah sekatan yang benar-benar baik yang akan menyekat penyebaran cacar monyet secara berkesan di Singapura," katanya.



Dr Hsu juga menekankan bahawa sebahagian besar kes cacar monyet setakat ini melibatkan lelaki yang telah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.



"Penularan melalui sentuhan kulit ke kulit rata-rata dikaitkan dengan pengelompokan rangkaian sosial dan seksual dalam golongan ini.



"Terdapat cabaran dalam melakukan penjejakan kontak bukan sahaja di Singapura malah di tempat lain sebahagiannya kerana diskriminasi yang dihadapi oleh kumpulan ini - mereka kurang berkemungkinan untuk mendapatkan bantuan atau penjagaan kesihatan lebih awal, atau menamakan pasangan seks mereka," kata Dr Hsu.



Naib Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, ketika dihubungi Berita Harian, berkata penularan boleh menjadi lebih pesat jika lelaki yang dijangkiti cacar monyet adalah lelaki biseksual.



Lelaki biseksual melakukan hubungan seks dengan kedua-dua lelaki dan wanita.



"Isunya adalah apabila mereka biseksual. Saya dapat bayangkan penularannya jika ia tersebar dalam kalangan lelaki dan wanita," kata beliau yang juga pakar perbidanan dan sakit puan di Pusat Pakar Pacific Healthcare.



"Vaksinasi mungkin berguna bagi kumpulan berisiko tinggi, tetapi manfaatnya mesti ditimbang dengan sebarang risiko yang berkaitan dengan vaksinasi," tambahnya.



Dr Nurhidayati juga berkata penjejakan kontak adalah cara yang berguna untuk membendung penularan virus itu, tetapi tidak menafikan terdapat cabaran berkaitan ini kerana pesakit mungkin keberatan mendedahkan amalan seksual mereka.



Zamil penyelidik pelawat di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Dr Rayner Tan, berkata orang ramai boleh melindungi diri mereka dengan mengehadkan kontak rapat dengan mereka yang menunjukkan gejala, dan berhati-hati dalam persekitaran yang kondusif untuk sentuhan kulit ke kulit atau muka ke muka, seperti tempat dengan seks di premis atau perhimpunan besar seperti pesta tarian.



Beliau menambah bahawa mereka yang mengalami gejala cacar monyet, termasuk demam, kelenjar bengkak, lepuh, lesi atau luka dan keletihan, harus mendapatkan bantuan perubatan.



Dr Tan, yang juga naib presiden Persatuan Kesihatan Tingkah Laku, Singapura, berkata:



"Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada cacar monyet, dan kini terdapat laporan awal jangkitan dalam kalangan kanak-kanak di tempat lain.



"Menimbulkan stigma tentang penularannya akan menjejaskan usaha kesihatan awam untuk mengehadkan penyebaran selanjutnya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >