Subuh
5:29
Syuruk
6:51
Zuhur
12:54
Asar
4:17
Maghrib
6:55
Isyak
8:08
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Setempat0

KORONAVIRUS

Tidak gerun bawa penumpang termasuk dari hospital

Feb 18, 2020 | 05:30 AM

Khamis lalu pemerintah telah mengumumkan pakej sokongan bernilai $77 juta bagi membantu para pemandu teksi dan kereta sewa privet. Wartawan AYU ARDINI ZULKHAIRIL (ayuardini@sph.com.sg) melaporkan reaksi dua pemandu tentang pakej ini.

KOTA Singapura agak lengang bagi pemandu teksi setempat sejak kebelakangan ini.

Menyedari kebanyakan syarikat membenarkan para pekerja bertugas dari rumah, Encik Malik Dahsuki, 69 tahun, berkata keadaan jalan raya Singapura kini agak sepi.

"Lengang! Bila memandu, susah sangat nak nampak orang.

"Kalau orang dah kurang, alamatnya, kurang jugalah penumpang. Dalam sehari, kalau dapat lima penumpang pun saya dah cukup bersyukur," kata Encik Malik.

Pendapatan hariannya sekarang kurang daripada $100, walhal sebelum penularan koronavirus, beliau boleh membawa pulang sekurang-kurangnya $150.

Namun, Encik Malik, yang bertugas sebagai pemandu teksi sejak 1980 menyifatkan kekurangan ini sebagai petanda baik.

"Saya kerja dah lama. Semasa SARS pada 2003, khidmat teksi masih berjalan dengan lancar. Tapi kini, memang sukar sekali menjemput penumpang.

"Ini menunjukkan bahawa pemerintah lebih peka tentang keselamatan rakyat di mana rakyat setempat digesa untuk elak melawat kawasan sesak agar diri tidak mudah dijangkiti virus," jelas Encik Malik.

Tambahnya, pemerintah turut mendidik para pemandu teksi tentang kepentingan menjaga kesihatan.

"Setiap pagi sebelum mula memandu, saya harus memeriksa suhu badan.

"Beberapa kawasan telah ditetapkan untuk mengendalikan pemeriksaan ini, khas buat pemandu teksi.

"Jika pemandu teksi tersebut didapati tidak sihat, dia akan disuruh berjumpa doktor. Lantas, usaha ini dapat mengurangkan peluang jangkitan.

"Pemerintah juga menggalakkan para pemandu memakai pelitup dan menurunkan tingkap sedikit agar teksi mempunyai perjalanan udara yang baik," jelas Encik Malik.

Dengan langkah-langkah yang dilaksanakan, Encik Malik berkata beliau tidak gerun menjemput apa jua penumpang - termasuk mereka yang baru pulang dari hospital.

"Pada saya, pemerintah tahu apa yang sedang mereka lakukan dan lebih bersedia menangani wabak ini, dibandingkan semasa penularan SARS.

"Jadi, saya tidak perlu gusar sangat."

Malah, Encik Malik juga tidak begitu bimbang dari segi kewangan.

Jumaat lalu, pemerintah telah mula menyalurkan $20 setiap hari dalam akaun sewa pemandu teksi.

Ujar Encik Malik, meskipun jumlah yang diberikan tidak begitu tinggi, beliau tetap akan memanfaatkan jumlah tersebut sebaik mungkin.

"Kalau difikirkan, dalam sebulan, $600 dapat dikumpulkan. Dengan wang itu, saya dapat membayar sebahagian daripada sewa harian atau mengisi minyak."

Menurut Encik Malik, sewa teksi Hyundai Hybridnya sebanyak $120 setiap hari dan harga minyak pula sekitar $80.

Namun, beliau berharap agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan.

"Meskipun saya bawa teksi secara 'santai', saya dapat rasa peritnya apabila saya tidak dapat begitu ramai penumpang.

"Apatah lagi mereka yang membawa teksi untuk menyara keluarga?

"Mungkin jumlah tersebut boleh ditingkatkan atau mungkin, pemerintah boleh menghentikan bayaran sewa buat masa ini," jelas Encik Malik.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian