Topic followed successfully
Go to BHkuTidak terlambat bagi 3 sekawan raih ijazah idaman
Tidak terlambat bagi 3 sekawan raih ijazah idaman
Tidak terlambat bagi 3 sekawan raih ijazah idaman
HANYA lebih setahun lalu, Berita Minggu menyorot kisah personaliti ini yang "kembali ke sekolah" di era pandemik setelah menyedari betapa perlunya membina keupayaan diri yang lebih kukuh dengan ilmu dan kelayakan yang lebih tinggi demi kerjaya yang lebih mantap dan meyakinkan.
Pejam celik pejam celik, personaliti yang dimaksudkan - Suhaimi Yusof, kini 52 tahun; Fauzie Laily, 37 tahun; dan Rubiah Mohd, 44 tahun, pada hujung minggu memenuhi impian mereka menggenggam ijazah idaman dengan keputusan cemerlang selepas pengajian sekitar setahun.
Ketiga-tiga mereka berjaya mendapatkan Sarjana Muda Penerbitan Media Penyiaran dengan Kepujian Kelas Pertama dari Universiti Teesside, United Kingdom menerusi Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) di majlis penyampaian yang diadakan di Hotel Fairmont.
Menariknya, dua daripada mereka kini mempunyai pekerjaan sepenuh masa setelah bertahun-tahun memilih bekerja sendiri.
Sementara Rubiah menyertai Berita Harian/Berita Minggu sebagai Koresponden sejak Januari lalu, Suhaimi pula sejak 9 Mei bertugas sebagai Pengarah bagi Perhubungan Strategik di Jamiyah Singapura.
Suhaimi semalam berkata beliau berbangga kerana berjaya mendapatkan ijazah pada tahun yang sama dengan anak keduanya, Cik Nurjannah, 25 tahun, yang mengikuti kursus ijazah Seni Reka Media di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
"Bila anak saya dapat masuk NTU, saya terkenangkan impian saya yang belum kesampaian untuk dapatkan ijazah. Dalam tempoh 30 tahun, tiga kali saya cicir kursus di peringkat ijazah kerana sibuk dengan kerja. Nurjannah masuk universiti menjadi pencetus semangat buat saya... kita sama-sama belajar. Alhamdulillah, gara-gara pandemik selama dua tahun, saya mempunyai lebih banyak masa... dan akhirnya impian ini menjadi kenyataan. Seronok bapak dan anak dapat ijazah sama-sama," ujar bapa tiga anak itu.
Bagi Rubiah, kembali berkuliah setelah menjadi ibu tiga anak dan ketika sibuk membuat penerbitan drama sebelum ini, mempunyai cabaran tersendiri.
"Penyesalan terbesar saya ialah tidak melakukan perkara ini lebih awal supaya saya dapat lihat gambar saya di dinding kemasyhuran nenek saya - tempat beliau bingkaikan gambar-gambar orang yang dia sayang, dengan gambar-gambar sepupu saya memakai gaun pengijazahan mereka. Gambar saya pun ada, tetapi gambar saya berumur tujuh tahun,dengan pakaian tamat pengajian tadika," kongsi Rubiah. Nenek beliau meninggal dunia pada Februari 2020.
Fauzie, penyanyi dan pelakon sepenuh masa yang kini sibuk dengan undangan persembahan Hari Raya berkata beliau lega kerana berjaya menamatkan kursus ketika beliau sibuk berlakon untuk penerbitan Channel 5.
"Sokongan sangat penting dan saya beruntung kerana isteri saya Nurul Huda, sangat membantu dan memberi semangat. Nurul pun ada ijazah Pendidikan Awal, turut membantu saya bagaimana menggunakan power point dan cara-cara menyiapkan esei. Nasihat-nasihatnya membantu kuatkan keyakinan saya," kata Fauzie.

