LEBIH ramai memanfaatkan faedah Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk memaksimumkan simpanan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan pandemik.
Jumlah pencarum yang menokok akaun simpanan persaraan CPF mereka sendiri atau orang tersayang hampir 40 peratus lebih tinggi tahun lalu berbanding 2019.
Mereka yang membuat pemulangan semula perumahan secara sukarela, berlipat ganda berbanding tempoh sama, menurut perangkaan terkini Lembaga CPF.
Turut meningkat ialah yang jumlah pencarum yang meninggal dunia tahun lalu dan menamakan penerima khusus bagi simpanan CPF mereka.
Adalah tidak mengejutkan lebih ramai orang menyalurkan lebih banyak tunai ke dalam akaun CPF mereka, kerana mereka sedar tentang manfaat menggunakan skim itu untuk menabung, menurut beberapa pemerhati kepada akhbar The Straits Times.
Tahun lalu, sekitar 141,130 pencarum CPF membuat tokokan di bawah Skim Tokokan Jumlah Persaraan, menyumbang sejumlah $2.97 bilion.
Pada 2019, hanya 103,800 pencarum menambah dana CPF mereka di bawah skim itu.
Tokokan keseluruhan pada 2019 juga lebih rendah pada $2.14 bilion.
Kira-kira 14,980 pencarum membuat pemulangan semula perumahan secara sukarela tahun lalu, iaitu sebanyak $1.48 bilion.
Ini melibatkan pencarum yang menggunakan simpanan CPF mereka untuk membayar hartanah yang dipilih untuk memulangkan semula jumlah yang dikeluarkan.
Ini berbanding hanya 5,500 pencarum yang melakukan demikian pada 2019, dengan sejumlah $513 juta dipulangkan semula.
Ketua nasihat kekayaan OCBC Bank, Encik Kelvin Goh berkata dana CPF menawarkan pencarum pulangan yang disesuaikan risiko lebih menarik, berbanding dengan akaun simpanan biasa mahupun sesetengah pelaburan.
Kadar sambutan lebih tinggi ini juga dirangsang oleh sekitaran kadar faedah lebih rendah dan ketidaktentuan pasaran yang disebabkan oleh pandemik, menurut ketua celik perancangan kewangan DBS Bank, Cik Lorna Tan, sambil menarik perhatian bahawa trend tokokan CPF dijangka berterusan.
Skim Tokokan Jumlah Persaraan, membolehkan pencarum menggunakan tunai atau simpanan CPF untuk menokok akaun mereka sendiri atau orang tersayang.
Bagi penerima di bawah usia 55 tahun, Akaun Khas boleh ditokok sehingga Jumlah Persaraan Sepenuhnya, iaitu $186,000 pada tahun ini.
Mereka berusia 55 tahun ke atas boleh menokok Akaun Persaraan mereka sehingga ke Jumlah Persaraan Dipertingkatkan sekarang, iaitu $279,000 pada tahun ini.
Pencarum CPF boleh mendapatkan pelepasan cukai sehingga $7,000 bagi setiap tahun kalendar bagi tokokan yang dibuat ke dalam akaun sendiri dan lagi sehingga $7,000 bagi tokokan yang dibuat untuk ibu bapa, ibu bapa mertua, datuk nenek, pasangan dan adik-beradik.