Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian Covid-19 lancar bagi pegerai, pekerja pembersihan Pusat Makanan dan Pasar Telok Blangah Drive

Jun 18, 2021 | 5:30 AM
DITUTUP UNTUK MENJALANI KERJA PEMBERSIHAN: Pusat Makanan dan Pasar Telok Blangah Drive kini ditutup untuk kerja pembersihan dan pembasmian kuman, yang bermula kelmarin dan dijadual berakhir hari ini. - Foto BH oleh GAVIN FOO
DITUTUP UNTUK MENJALANI KERJA PEMBERSIHAN: Pusat Makanan dan Pasar Telok Blangah Drive kini ditutup untuk kerja pembersihan dan pembasmian kuman, yang bermula kelmarin dan dijadual berakhir hari ini. - Foto BH oleh GAVIN FOO -

UJIAN swab Covid-19 berjalan lancar di kolong Blok 80D Telok Blangah Street 31 pagi semalam, bagi pegerai dan pekerja pembersihan di Pusat Makanan dan Pasar Telok Blangah Drive.

Pusat ujian sementara itu disediakan setelah seorang lagi pekerja di situ disahkan kelmarin dijangkiti Covid-19.

Menurut akhbar The Straits Times, terdapat kesesakan di sana ketika penjaja mula muncul pagi itu untuk janji temu yang dijadualkan dari 9 pagi, tetapi berkurangan setelah ujian dimulakan.

Ujian swab berlangsung hingga 4 petang.

Anggota Parlimen GRC West Coast, Cik Rachel Ong, berkata semalam sekitar 100 pegerai dan 30 pekerja pembersihan dijangka menjalani ujian.

Pusat penjaja itu kini ditutup bagi kerja pembersihan dan pembasmian kuman, yang bermula petang kemarin dan dijadual berakhir hari ini.

Cik Ong berkata masyarakat memahami keadaan dan memberi banyak sokongan.

"Ramai berpendapat pembersihan meluas adalah perkara yang wajar dilakukan untuk keselamatan semua," katanya dalam satu catatan Facebook.

Beliau juga berkata penjaja amat berterima kasih atas rebat sewa yang diberi baru-baru ini.

Mengulas mengenai sokongan tambahan bagi penjaja, beliau berkata: "Kami masih berbincang bersama sukarelawan akar umbi, dan presiden persatuan pekedai kami... Jika kami dapat membantu, kami akan melakukannya dengan cara terbaik."

Antara mereka yang menjalani ujian swab itu semalam ialah penjaja Lim Kwang How, yang mengendali gerai yong tau foo di pasar itu.

Encik Lim tiba di kolong blok itu pada 9 pagi untuk mengambil ujian itu.

"Ujian swab itu dijalankan dengan cepat dan lancar dan saya tidak mengalami ketidakselesaan," kata beliau, sambil menambah bahawa tidak ada barisan panjang di pusat ujian swab itu.

Antara kes baru Covid-19 yang disahkan di Singapura kelmarin ialah seorang wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang bekerja dalam bidang pentadbiran di South Asia Construction dan bekerja sambilan di Pusat Makanan Telok Blangah.

Beliau tidak melaporkan gejala dan diuji positif Covid-19 ketika dikenakan kuarantin.

Sementara itu, hingga semalam, terdapat 39 kes Covid-19 sah dalam kelompok Pusat Makanan Bukit Merah View.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg