Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DIRGAHAYU SINGAPURA

Ulang tahun ke-56

Aug 09, 2021 | 05:30 AM



Menyambut Hari Kebangsaan di tengah-tengah pandemik mungkin tidak ‘semeriah’ tahun-tahun sudah. Namun, melihat bagaimana warga bersatu padu untuk memberikan sokongan kepada golongan yang lebih terjejas oleh Covid-19 pastinya membangkit semangat bangga kepada titik merah di khatulistiwa ini. Sempena ulang tahun Singapura yang ke-56, kami mengumpulkan harapan dan aspirasi penduduk Kota Singa ini.



“2021 merupakan tahun yang istimewa kerana seluruh Singapura sama-sama meraikan wanita. Penghormatan ini mengingatkan kita semua betapa pentingnya untuk menghargai wanita. Wanita merupakan tunggak keluarga dan masyarakat. Menyokong aspirasi wanita sama dengan menyokong aspirasi generasi akan datang. Kami di PPIS berharap lebih ramai menyertai usaha kami untuk menyokong wanita mengecapi aspirasi mereka. Ini perjuangan kita bersama, kerana setiap seorang memainkan peranan penting untuk membentuk ekosistem sokongan yang kukuh. Apabila wanita maju, masyarakat maju. Dan apabila masyarakat maju, Singapura maju. Dirgahayu Singapuraku!”
- Cik Hazlina Abdul Halim, Presiden, Persatuan Pemudi Islam Singapura.




“Harapan saya ialah untuk melihat lebih ramai warga Singapura yang keluar untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan. Saya juga berharap warga Singapura dapat lebih menyedari bahawa sikap negatif dan hanya mementingkan diri sendiri hanya akan merugikan negara dan diri mereka. Kunci kepada kejayaan kita ialah untuk kita berganding bahu, bekerjasama bagi masa depan lebih cerah untuk semua.”
- Encik Sazali Zainal, Anggota Jawatankuasa Pusat NTUC.




“Meskipun masa ini mencabar, kami amat berterima kasih dan bersyukur kerana berada di negara yang selamat seperti di Singapura ini. Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua warga Singapura. Majulah!”
- Hafiz Abu Sujad, pemain bola sepak nasional dan Hougang United FC.




“Semoga semangat menyebarkan rahmah kepada semua, tidak kira bangsa atau agama terus mekar di Singapura. Wajar kita mengimbau kembali pengalaman yang dipenuhi onak dan duri yang dilalui generasi-generasi sebelum ini dalam usaha menyemai perpaduan antara kaum dan meningkatkan semangat kewarganegaraan yang` kukuh. Saya juga berharap agar dengan sokongan pemerintah dan sektor korporat, semangat sukarelawan dapat digalakkan di kalangan masyarakat kita, dalam usaha kita menjadi Masyarakat Gemilang dan mempunyai keperibadian yang murni. Mari kita sama-sama menggembleng usaha dan idea untuk terus melahirkan usahawan dan karyawan muda yang beraspirasi dan berkemahiran tinggi agar dapat turut sama dalam usaha negara menangani isu-isu terkini seperti perubahan iklim, kesihatan, mobiliti sosial dan menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat serta negara.”
- Mohamed Shah Reza, CEO Kumpulan Zahid & Shah Group dan Pengerusi M3@Jalan Besar.




“Harapan kita senegara tentunya supaya pandemik Covid-19 pulih secepat mungkin. Fitrah manusia, kita semua memerlukan hubungan secara fizikal dan emosi. Ramai yang merindukan keluarga dan sahabat handai yang terpisah dek peraturan jarak selamat ataupun sekatan sempadan. Selain itu kita juga mengharapkan masa depan lebih cerah dari sudut mata pencarian. Ramai yang terpaksa bertukar jawatan atau bekerja secara sambilan oleh kerana kehilangan kerja dengan sektor-sektor tertentu terjejas teruk oleh Covid-19. Secara peribadi pula, saya harap kita dapat menghargai dan menghormati perbezaan antara kita; tanpa mengira bangsa, agama, mahupun pandangan hidup. Ini amat diperlukan kalau kita mahu terus menikmati suasana hidup berharmoni dalam negara yang berbilang bangsa.”
- Encik Nur Effendi Esa Pengurus Besar, Wisma Geylang Serai.




“Saya berharap Singapura akan terus menjadi negara yang menghargai kemajmukan yang sedia ada di dalam setiap lapisan masyarakat. Prinsip yang harus kita angkat bersama ialah kewarganegaraan yang adil dan saksama, tanpa menyudutkan mana-mana golongan yang turut menyumbang kepada kemakmuran negara. Perbezaan yang ada harus dijadikan sumber kekuatan dan bukan punca perpecahan. Dirgahayu, Singapuraku!”
- Mohamed Imran Mohamed Taib, pengasas dan ahli lembaga Pusat Pemahaman Silang Agama (Cifu).




“Ramai daripada kita, termasuk golongan asatizah, yang telah mengharungi masa-masa mencabar dalam pandemik ini, namun kita telah menunjukkan daya tahan dan ketabahan yang tinggi. Sebagai asatizah, saya harap kita dapat terus memupuk semangat dan nilai positif dalam ajaran kita mahupun menerusi interaksi kita di media sosial. Dalam kita berdepan dengan pelbagai cabaran, ia juga memberi peluang kita bangkit lebih kukuh sebagai sebuah masyarakat. Hari ini, sebagai warga, kita menyambut ulang tahun negara tercinta. Teruslah berusaha ke arah membangunkan masyarakat yang berempati yang bersikap cinta kepada negara, mempunyai pegangan agama yang kukuh, sambil bersemangat waja dan berdaya tahan. Selamat Hari Kebangsaan, Singapura yang tercinta.”
- Ustazah Nur Hidayah Azman, pendakwah bebas.




HARAPAN ARTIS



“Saya berharap persada seni Singapura akan terus berkembang berbekal identiti sendiri dengan negara ini kini mencapai 56 tahun kemerdekaan. Moga saya dapat mencetus inspirasi buat lebih ramai anak seni dalam kalangan kaum Hawa tampil merancakkan dunia hip-hop dengan lagu penggerak minda.”
- Nurbalqis Mohamed Muzamil atau Qis Maraj, penyanyi rap dan penggubah lagu muda.




HARAPAN ATLET



“Adalah satu nikmat dan penghormatan untuk mewakili negara di Olimpik. Pengalaman yang saya di sana tiada tolok bandingnya dan ia membuat saya lebih terdorong untuk bertanding di Olimpik yang selanjutnya. Saya akan terus berlatih untuk menjadikan Paris 2024 satu realiti dan saya berharap acara sukan utama lain seperti Sukan Asia dan Sukan SEA juga akan menjadi batu loncatan bagi saya terus berlatih dan mempertingkat keupayaan saya.”
- Kiria Tikanah, atlet lawan pedang negara, yang beraksi di Sukan Olimpik, Tokyo.




“Harapan saya ialah supaya warga Singapura bersatu dan mengatasi cabaran yang sedang kita hadapi dalam pandemik ini. Saya berharap kita boleh bangkit dan membantu satu sama lain untuk meneruskan perjuangan kita dalam hidup.”
- Muhamad Ridhwan Ahmad, bekas petinju profesional negara dan pemilik gimnasium.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >