Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ustaz ceburi bidang perundangan demi bantu pertingkat kesedaran masyarakat

Oct 08, 2022 | 05:30 AM



SETELAH 15 tahun menggalas tanggungjawab sebagai ustaz, menasihati anggota masyarakat dalam pelbagai permasalahan berkaitan keluarga dan pembahagian harta pusaka, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy yakin beliau amat memerlukan ilmu perundangan menyeluruh.



Bersandarkan pegangan 'usah jemu memburu ilmu sepanjang hayat', Ustaz Irwan, 38 tahun, yang ketika itu Timbalan Pengarah Pejabat Mufti di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), menyertai Program Doktor Juris (Doktor Perundangan) di Sekolah Undang-Undang, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) empat tahun lalu.



Pengajian sambilan itu ditaja pihak pengurusan kanan Muis dan memberikannya ruang menyelongkar undang-undang keluarga dan undang-undang jenayah dengan latihan bekerja sambil belajar dijalani sebulan di mahkamah negara dan dua bulan di dua firma guaman swasta.



Semalam, Ustaz Irwan, bapa tiga anak berusia antara dua tahun setengah hingga 11 tahun, adalah antara 15 lulusan Program Doktor Juris yang menerima ijazah tamat pengajian di sesi terakhir majlis konvokesyen SUSS.



Difahamkan beliau adalah ustaz pertama di sini yang lulus daripada Program Doktor Juris ini.



Ketika dihubungi Berita Harian, Ustaz Irwan yang merupakan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Muis, berkata:



"Dalam memberi nasihat sewaktu sesi kaunseling, ada ketikanya saya perlu menasihati individu tentang akibat tindakan mereka dari segi undang-undang keluarga atau jenayah.



"Justeru, saya berasakan saya perlu melengkapi diri saya dengan ilmu pengetahuan perundangan lebih menyeluruh untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih arif tentang kesan akibat perbuatan mereka dan mengambil pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan sesuatu yang boleh menjerat mereka dalam kancah jenayah."



Ustaz Irwan yang memiliki ijazah sarjana muda dalam undang-undang Islam daripada Universiti Al-Azhar di Mesir dan ijazah sarjana undang-undang daripada Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS), Universiti London, berkata beliau meraih inspirasi daripada perjuangan dan sumbangan Allahyarham Ustaz Kamil Suhaimi, seorang ustaz dan peguam yang juga terlatih sepenuhnya dalam bidang syariah.



"Sejak sekian lama, kita mempunyai lulusan undang-undang Islam dan undang-undang sivil daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tetapi keadaan itu belum membolehkan mereka mengambil peperiksaan bar (guaman) dan mendapat pentauliahan sebagai peguam di Singapura.



"Dengan ijazah Program Doktor Juris ini, mudah-mudahan saya dapat melanjutkan pengajian saya untuk disertakan dalam peperiksaan bar pada Disember ini dan lulus untuk meraih pentauliahan guaman yang dicita-citakan," jelasnya.



Ustaz Irwan menyedari tidak mudah mengambil pengajian sambilan yang menuntut fokus pada banyak bahan pembacaan dan tugasan menulis secara padat dalam esei sebatas 1,000 perkataan.



Sokongan pihak pengurusan kanan Muis, keluarga, sahabat sekuliah dan doa ibunya banyak membantunya mengharungi tempoh sukar dari segi fizikal, mental dan emosi.



Bapanya yang diserang angin ahmar selama 13 tahun dan kemudian hidapi jangkitan bakteria pada otak yang membawa pada radang otak selama empat tahun pula meninggal dunia pada tahun terakhir pengajian Ustaz Irwan.



"Itulah detik paling sukar dan menyentak emosi saya sebab sebagai anak sulung, dalam saya sendiri tertekan dengan bermacam perkara di fikiran, saya juga perlu beri semangat buat ibu yang menjaga ayah selama ini," ujarnya.



Di sebalik segalanya, Ustaz Irwan amat menghargai latihan amali yang dijalani termasuk latihan perbicaraan di hadapan hakim daerah kanan yang membuatnya dan rakan-rakan teruja bercampur gementar.



"Buat asatizah muda kita, saya harapkan pendakian ilmu mereka tidak akan terhenti termasuk jika ingin menceburi cabang lain. Carilah bidang tukikan atau minat sebaiknya melalui latihan formal tanpa mengabaikan latihan asas bahkan memperkaya peranan sebagai asatizah," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >