Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Karyawan penuh idea dan berani tampil menyumbang

Ustazah Liyana gabung dengan firma baju suntik semangat kekitaan wanita

Nov 07, 2022 | 05:30 AM



Meski sibuk dengan jadual dan komitmen keluarga, bilangan golongan profesional Melayu/Islam yang sedia membantu masyarakat semakin bertambah. Bantuan yang diberikan juga pelbagai dan tidak hanya terhad kepada bantuan kewangan tetapi juga sokongan, menjalin rangkaian, kerohanian dan juga fesyen. BERITA HARIAN meninjau usaha yang dilakukan segelintir golongan ini dan apa yang mendorong mereka untuk terus menyumbang kembali kepada masyarakat.




MENGGABUNGKAN fesyen, kerohanian dan menyuntik semangat kekitaan antara kaum wanita.



Itulah yang sedang diusahakan asatizah tempatan, Ustazah Liyana Musfirah, bersama pemilik syarikat fesyen baju tempatan, By Marlena.



Berbanding dengan bantuan yang dihulurkan kumpulan lain seperti makanan dan minuman atau mengongsi kemahiran, apa yang dilakukan kumpulan wanita ini adalah menyatukan apa yang disukai wanita iaitu fesyen, dan pada masa yang sama, membina rangkaian wanita bersama.



"Kerap kali sebagai wanita, kita memikul pelbagai tanggungjawab dan, ada kalanya, dalam kita melaksanakan tanggungjawab itu, kita selalunya memikirkan keperluan orang lain tetapi sering terlupa keperluan diri kita sendiri," ujar Ustazah Liyana.



Lantaran itu, bagi memberi tiupan semangat kepada wanita, Ustazah Liyana bergabung dengan By Marlena untuk menghasilkan rekaan baju abaya khas.



Hasil daripada penjualan baju abaya itu akan disalurkan untuk membiayai kos terapi kaum wanita yang memerlukan tetapi kurang berkemampuan.



Terapi itu akan dijalankan oleh Hayaa' Network yang menawarkan khidmat terapi berbentuk psikoterapi di mana masalah yang sudah berakar lamanya seperti trauma, kesihatan mental, keprihatinan antara generasi, budaya dan kerohanian, ditangani dengan teliti.



"Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada wanita membantu kaum wanita lain yang memerlukan menerusi fesyen," tambah Ustazah Liyana.



Sebanyak tujuh desain abaya berbeza dan beraneka warna telah dilancarkan dalam satu acara 'Celebrating You' semalam.



Selain itu, terdapat satu siri perkongsian di Instagram secara langsung di mana topik seperti kesihatan mental dan kerohanian dibincang dengan lebih meluas bagi pengikut By Marlena.



Mengulas tentang inisiatif itu, pengasas By Marlena, Cik Marlena Nasir, 46 tahun, berkata apa yang diusahakan itu sejajar dengan hala tuju syarikat itu.



Sebelum ini, sebagai menghargai pengorbanan yang dilakukan para guru, sebanyak 100 abaya yang direka khas diberikan secara percuma kepada mereka.



Perkara yang sama turut dilakukan baru-baru ini di mana 300 tudung panjang atau shawl diberikan secara percuma kepada jururawat sebagai menghargai kerja keras sepanjang tempoh pandemik.



"Kami mahu memperkasa wanita dan memberitahu mereka bahawa ada wanita lain yang menghargai mereka dan akan terus menyokong mereka," ujar Cik Marlena.



Menurutnya, dorongan memperkasa wanita itu datang selepas melihat cabaran yang dihadapi kakitangannya. Beliau mempunyai sekitar 15 kakitangan wanita di syarikatnya.



Menceritakan detik pertama terlintasnya niat membantu wanita, anak Cik Marlena, Cik Nur Amalia Nazura Herman, 26 tahun, yang juga menguruskan syarikat itu, berkata ia bermula apabila beliau mula mengambil seorang ibu tunggal sebagai pekerjanya.



"Setiap hari, wanita itu yang tinggal di bahagian timur Singapura, akan menghantar anaknya ke sekolah di Hougang.



"Tetapi selepas menghantar anaknya, beliau langsung tidak pulang ke rumah tetapi sebaliknya tunggu di kolong blok selama empat jam sebelum kelas anaknya tamat.



"Ini kerana wanita itu yang mempunyai dua anak tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap selepas bercerai dan ditendang keluar rumah suaminya.



"Saya tidak sampai hati melihat keadaannya, lalu saya tawarkan beliau bekerja secara sambilan bersama kami meskipun beliau tidak mempunyai pengalaman," katanya.



Perlahan demi perlahan, beliau mula mengambil tahu tentang cabaran yang dihadapi kakitangannya menerusi sesi 'townhall' atau mesyuarat yang diadakan.



Beliau mula mengenal pasti tentang masalah yang dihadapi wanita lain seperti isu kesihatan mental dan kemurungan.



Melihat perjuangan mereka, membuat Cik Amalia berasa beliau boleh melakukan sesuatu dalam kapasitinya untuk membangkitkan semangat wanita lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >