Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ustazah Sukarti kini masyaikh Pergas, penasihat mapan wanita pertama

Satu-satunya wanita dalam kalangan tujuh masyaikh Pergas
Jul 27, 2021 | 05:30 AM



BUAT julung-julung kalinya dalam sejarah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), seorang ustazah - Ustazah Sukarti Asmoin - telah dipilih sebagai masyaikh atau penasihat mapan semasa pengundian barisan Majlis Tertinggi Pergas baru-baru ini.



Ustazah Sukarti, 67 tahun, sebelum ini merupakan ustazah pertama menyandang jawatan naib presiden di persatuan itu.



Beliau kini dipilih menyertai barisan masyaikh Pergas yang dibarisi kumpulan asatizah mapan seperti Ustaz Pasuni Maulan, Ustaz Ali Haji Mohamed, Ustaz Mohamed Fatris Bakaram, Ustaz Sallim Jasman dan Ustaz Abdul Manaf Rahmat.



Masyaikh berperanan memberikan nasihat dan panduan keagamaan dan kepimpinan agama yang dapat menyatu padukan ulama dan asatizah dalam menghadapi pelbagai cabaran di masa muka.



Pergas dalam kenyataannya semalam berkata pemilihan Ustazah Sukarti sebagai masyaikh "merupakan detik bersejarah selama 64 tahun terdirinya Pergas sebagai satu-satunya institusi ulama dan asatizah di Singapura".



Ustazah Sukarti berkata pemilihan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang besar dan beliau berharap dapat belajar daripada masyaikh yang sedia ada yang lebih berpengalaman.



"Saya juga berbesar hati masih diberi peluang untuk menabur bakti kepada Pergas selagi saya diizinkan dan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut untuk kebaikan asatizah dan masyarakat Islam Singapura.



"Saya juga berharap pemilihan saya ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada para ustazaat yang lain," kata beliau.



Sementara itu, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dipilih semula sebagai presiden Pergas bagi tahun 2021 hingga 2023.



Pemilihan anggota Majlis Tertinggi Pergas bagi tahun 2021 hingga 2023 telah diadakan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-62 badan agama itu pada 18 Julai lalu.



Pemilihan barisan kepimpinan telah dikendalikan melalui wadah pengundian dalam talian.



Seramai 13 asatizah lain turut dipilih menjadi anggota barisan Majlis Tertinggi Pergas dalam mesyuarat tersebut.



Anggota jawatankuasa eksekutif lain ialah Ustazah Kalthom Muhd Isa selaku naib presiden; Ustaz Mohammad Bahrul Ulum Buang selaku setiausaha; Ustazah Nur Khadijah Ramli selaku bendahari; Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman selaku naib bendahari; dan Ustaz Mohamad Hasyim Masnin selaku naib setiausaha.



Ahli kehormat pula terdiri daripada Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim, Ustaz Fathurrahman Haji M Dawoed, Ustazah Nurul 'Izzah Khamsani, Ustaz Izal Mustafa Kamar, Ustazah Rohana Ithnin, Ustazah Siti Nur 'Alaniah Abdul Wahid, dan Ustaz Mohamed Effendi Suparde.



Ustaz Mohamad Hasbi berkata Pergas telah mula mengorak langkah bagi pelan strategik empat tahun sehingga 2024.



Ini termasuk menaik taraf program latihan dan pembangunan asatizah, menyediakan panduan agama berpandukan isu masa kini seperti keganasan rumahtangga dan kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) serta mengembangkan wadah ataupun platform dakwah bersesuaian dengan arus teknologi yang semakin canggih.



Tambah beliau, Pergas juga akan menjadi lebih mesra masyarakat dan mesra alam.



Ustaz Mohamad Hasbi berkata beliau yakin dengan kemampuan barisan kepimpinan baru Pergas yang dipilih oleh para ahli.



"Mereka merupakan para asatizah yang telah lama dan banyak menyumbang kepada landskap dakwah, pendidikan Islam dan kepimpinan agama di Singapura.



"Saya lebih teruja kerana dapat melihat lebih banyak penglibatan para asatizah wanita (ustazaat) di dalam institusi-institusi keagamaan supaya ianya menjadi pemangkin semangat dalam kita mencontohi peranan penting yang telah dimainkan oleh Sayyidatina Khadijah RA dan Sayyidatina Aisyah RA dalam kepimpinan dan pembangunan agama," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >