VAKSIN Covid-19 Moderna akan diberi di empat pusat vaksinasi baru di Singapura mulai hari ini, umum Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.
Pusat itu ialah Kelab Masyarakat Hong Kah Utara, Kelab Masyarakat Marsiling, Kelab Masyarakat Punggol 21 dan Kelab Masyarakat Radin Mas.
Semua pusat vaksinasi lain serta poliklinik dan Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) terpilih akan terus memberi vaksin Pfizer-BioNTech.
MOH berkata vaksin Moderna akan diberi di lebih banyak pusat vaksinasi apabila semakin banyak bekalannya tiba.
"Setiap pusat vaksinasi akan hanya menyimpan dan menguruskan satu jenis vaksin. Individu mesti memilih pusat vaksinasi sama bagi janji temu pertama dan kedua mereka ketika membuat tempahan melalui sistem janji temu nasional," kata MOH.
Ia juga menjelaskan memandangkan kapasiti vaksinasi setiap pusat tidak sama, waktu menunggu dos pertama berbeza antara pusat vaksinasi.
Sebagai tambahan kepada empat pusat baru itu, tiga pusat vaksinasi juga akan beroperasi secara berperingkat mulai hari ini. Pusat itu ialah Kelab Masyarakat Nanyang, Kelab Masyarakat Sengkang dan Arena@Our Tampines Hub.
Menjelang pertengahan April, 40 pusat vaksinasi dijangka disediakan di seluruh pulau.
Sekarang, mereka yang memenuhi syarat boleh mendapatkan suntikan di 31 pusat vaksinasi, selain 20 poliklinik dan 22 PHPC.
Orang ramai diminta membuat janji temu vaksinasi di pusat vaksinasi, yang mempunyai kapasiti lebih tinggi daripada poliklinik.
Hingga 15 Mac, lebih 792,000 dos vaksin telah diberi. Lebih 549,000 orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama, sementara sekitar 243.000 telah menerima dos kedua mereka, menyelesaikan proses vaksinasi penuh.
COVID-19 DI SG - 16 MAC
Baru: 11
Dalam masyarakat: 0
Di dormitori: 0
Import: 11
Keseluruhan: 60,128
Kematian: 30
Laporan terkini kes Covid-19 setempat di www.bh.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg