PENERIMA bantuan khidmat penjagaan warga emas GoodLife! di bawah Montfort Care berkumpul semalam untuk menikmati makanan tengah hari sempena Tahun Baru Cina bersama Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.
Turut hadir ialah ketua pegawai eksekutif dan pengasas Monftort Care, Encik Samuel Ng, dan pengarah eksekutif CapitaLand Hope Foundation, Encik Tan Seng Chai.
Ini merupakan kali pertama warga emas yang kebanyakannya tinggal bersendirian di flat sewa Marine Terrace dapat menikmati perayaan Tahun Baru secara fizikal sejak pemutus litar dua tahun lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Montfort Care.
Sambil mengekalkan langkah pengurusan selamat, tiga warga emas turut membuka rumah mereka untuk mengadakan makan tengah hari bersama bagi penerima bantuan lain.
Warga emas itu menerima ang pao sambil menikmati lou-hei.
Hari mereka diceriakan lagi dengan kedatangan maskot Cai Shen Ye (dewa kekayaan).
Dr Tan, yang juga Anggota Parlimen dan penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade berkata kebolehan untuk memberi galakan dan berkongsi makanan bersama merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan.
Keghairahan warga emas di acara semalam adalah peringatan sungguh memilukan tentang betapa berharganya hubungan manusia, katanya.
"Walau sedang kita meraikan Tahun Harimau ini, saya berbesar hati dan amat menghargai kerja rakan kongsi masyarakat seperti Montfort Care, yang terus berhubung dan menyokong golongan mudah terjejas dalam masyarakat, memastikan mereka tidak ketinggalan."