WARGA Singapura menyesuaikan kehidupan dan aktiviti harian sejajar dengan sekatan yang diperketat sedang pemerintah terus menyasarkan pembukaan ekonomi Singapura di tahap seterusnya dalam jangka masa panjang.

Namun, kes harian yang tinggi dan korban koronavirus yang meningkat terus menimbulkan keprihatinan di kalangan warga.

Kebimbangan tersebut, berserta dengan aturan bekerja dan belajar dari rumah, merupakan antara faktor yang meletakkan tekanan hebat antaranya ke atas pengendali syarikat makanan dan minuman (F&B).

Perubahan demi perubahan pada langkah pengurusan selamat (SMM) turut membuatkan mereka sukar membuat perancangan jangka panjang dari segi tempahan bekalan makanan dan lain-lain.

Jika perubahan ini berlanjutan, beberapa F&B menyatakan ia agak sukar dan mungkin ada F&B yang terpaksa 'gulung tikar'.

"Kita memang terus tercabar dengan setiap sekatan yang diperkenalkan, baik dari segi kewangan, tenaga kerja mahupun mental.

"Memang bersyukur orang ramai masih boleh makan di luar. Namun, perniagaan tidak mungkin dapat membuat penyesuaian bagi tempoh yang berpanjangan," kata pemilik bersama restoran Cherry & Oak, Encik Isrudy Shaik, yang kafenya terletak di Owen Road.

Ketika ini, hanya dua pelanggan yang sudah divaksin dibenarkan makan semeja.

Pemilik H Cafe di Changi Road, Cik Harfa Abdul Karim, berkata penjualannya susut hingga 40 peratus.

"Ia mencabar. Ada F&B yang boleh bertahan tetapi ada yang tidak,'' katanya.

Antara golongan lain yang turut dibelenggu kebimbangan dalam tempoh ini adalah ibu bapa kanak-kanak yang belum boleh menerima vaksin, terutama sekali yang perlu menghantar anak mereka ke prasekolah atau pusat jagaan.

Semua prasekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak dibuka dalam tempoh ini, namun ibu bapa digalakkan untuk menjaga anak-anak mereka di rumah jika mereka mampu, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda).

Ini menimbulkan dilema di kalangan ibu bapa termasuk Cik Nur Diana Mazlan yang menghantar anaknya yang berusia empat tahun ke prasekolah setiap hari.

Beliau akui berasa serba salah, terutama sekali kerana perlu menaiki bas dengan membawa anaknya yang berusia dua tahun yang belum selesa mengenakan pelitup muka.

"Walaupun saya nak semua anak-anak saya kekal terus di rumah, saya bimbang pendidikan mereka terganggu. Jadi, saya tetap hantar anak saya ke prasekolah, tapi tidak sekerap sebelum ini," ujar suri rumah berusia 29 tahun itu.

Prasekolah kelolaan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) berkata jumlah murid yang hadir berkurangan sekitar 36 peratus menyusuli lonjakan kes jangkitan dalam masyarakat sejak kebelakangan ini.

"Lebih ramai ibu bapa yang mengambil langkah berjaga-jaga dan ingin anak-anak mereka kekal di rumah," kata Penolong Ketua Operasi, Jaminan Mutu dan Pembangunan Keupayaan, Pembangunan Prasekolah PPIS, Cik Zulaihabe Talip.

Namun, beliau akui segolongan besar ibu bapa berasa lega pusat jagaan kanak-kanak dan prasekolah tidak ditutup di bawah peraturan baru yang berkuatkuasa Isnin lalu kerana terdapat mereka yang perlu menguruskan pembelajaran di rumah (HBL) anak-anak mereka yang lain serta menjalankan tugas mereka.

Beliau memberi keyakinan dan menekankan bahawa kesemua kakitangan bersedia melaksanakan semua proses yang diperlukan dan memberi respons pantas terhadap langkah baru yang diperkenal.

Pengarah kanan Divisyen Pengurusan Prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF), Cik Marini Khamis, pula berkata: "Banyak usaha telah dijalankan untuk memastikan kakitangan kami faham langkah pengurusan keselamatan yang diperketat ini dengan baik dan mampu mewujudkan pelan berkesan dan mempraktikkannya."

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti