WARGA Singapura yang rajin dan komited mesti diberi peluang untuk melakukan yang terbaik tanpa mengambil kira titik permulaan mereka.
Masalah kewangan tidak boleh menjadi hambatan kepada para pelajar yang layak untuk mencapai kejayaan pendidikan.
Demikian kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing semasa memberi ucapannya semalam sempena majlis penamaan sebuah Hab Penemuan di Institut Teknologi Singapura (SIT).
"Sistem pendidikan kita mahu membantu semua pelajar melakukan yang terbaik.
"Kita mahu membantu semua pelajar membangunkan kebolehan diri dan mencapai potensi mereka.
"Semua warga Singapura yang komited dan bekerja keras mesti diberi setiap peluang yang ada dan mesti melakukan yang terbaik dengan peluang yang diberikan kepada mereka, tidak kira titik permulaan.
"Sebab-sebab kewangan tidak seharusnya menghalang pelajar yang layak daripada latar belakang mencabar daripada mengakses pendidikan tinggi," ujar Encik Chan.
"Mereka mesti yakin bahawa mereka tidak kurang bernasib baik berbanding rakan-rakan mereka," tambahnya.
Beliau telah menghadiri majlis penamaan Hab Penemuan Chua Thian Poh yang bakal dibangunkan di kampus SIT di Punggol sebagai tetamu terhormat semalam.
Majlis penamaan itu diadakan di SIT@Dover.
Penamaan hab tersebut ialah sempena Dr Chua Thian Poh, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Ho Bee Group, yang telah mendermakan $2.6 juta kepada SIT bagi menyokong pembangunan kampus baru institut itu yang akan bertempat di Punggol.
Sementara itu, sebelum Kampus Punggol beroperasi, Pusat Aktiviti Pelajar di kampus semasa SIT di Dover akan dinamakan Pusat Aktiviti Pelajar Chua Thian Poh.
Derma daripada Dr Chua itu, yang dilakukan menerusi Yayasan Chua, juga akan menyokong pertubuhan Dermasiswa Chua Thian Poh yang membolehkan SIT memberi enam dermasiswa bernilai $5,000 setiap satu setiap tahun.
Dermasiswa itu terbuka kepada penuntut SIT warga dan penduduk tetap Singapura yang mempunyai pendapatan per kapita isi rumah tidak melebihi $1,500.
Mengulas derma tersebut, Encik Chan berkata:
"Kami gembira terdapat banyak contoh warga Singapura seperti Dr Chua yang berkongsi kepercayaan membantu orang lain dan menyokong mobiliti sosial.
"Dermasiswa seperti ini mempunyai sentuhan peribadi - bagi penderma, ia merupakan cara mereka menyumbang kepada orang lain dalam masyarakat untuk memberi mereka peluang tambahan; dan bagi penerima, ia mengingatkan mereka bahawa seseorang dalam masyarakat telah memberi mereka peluang untuk bermula dengan teguh dalam kehidupan."
"Saya amat berbesar hati kerana dapat memupuk pelajar di SIT, yang bersedia menjadi profesional masa depan untuk memacu ekonomi Singapura," kata Dr Chua.
Sementara itu, Presiden SIT, Profesor Chua Kee Chaing berkata:
"Sebagai universiti muda yang baru hendak memulakan era pertumbuhan baru di kampusnya sendiri, SIT amat menghargai persahabatan Dr Chua yang bermula sejak 2012 lagi.
"SIT dan pelajarnya sangat menghargai kepimpinan filantropik Dr Chua serta sokongan padu beliau."