Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

WiFi percuma di bawah blok flat sewa

Ibu tunggal lima anak raih manfaat yang disediakan badan Beyond Social Services
Sep 12, 2020 | 05:30 AM



SETIAP kali Cik Siti Aidah Abdullah dan anak-anaknya perlu menggunakan WiFi, mereka akan ke restoran makanan segera McDonald's atau ke pusat jawatankuasa penduduk (RC) Bestari dekat dengan rumah mereka.



Namun, sejak awal Ogos lalu, Cik Aidah dan kelima-lima anaknya hanya perlu turun ke kolong blok rumah mereka di Blok 245 Kebun Baru untuk menggunakan WiFi percuma yang disediakan.



Ibu tunggal lima anak yang berusia 50 tahun itu tidak mampu menanggung kos memasang sambungan jalur lebar di rumah sewa mereka di mana keluarga tersebut sudah menginap selama tiga tahun.



"Beberapa tahun lalu, saya menjalani pembedahan di bahagian perut untuk mengurangkan berat badan dan lepas itu doktor beritahu yang saya ada leukaemia dan perlu jalani kemoterapi.



"Saya tidak mempunyai sokongan yang banyak daripada keluarga kerana ibu bapa saya dah meninggal dan saya anak tunggal," kongsi Cik Aidah, yang sudah bercerai dengan suaminya pada 2014.



Beliau, yang tidak bekerja, berkata mereka pernah mempunyai sambungan WiFi di rumah di bawah nama anak perempuannya.



Namun, dek bil tertunggak, ia terpaksa dipotong.



Jika benar-benar perlu menggunakan Internet, beliau kadang-kadang akan menambah nilai pada data Singtel telefonnya sebanyak $10, jika mampu, katanya lagi.



Mujur, dengan adanya WiFi percuma di bawah bloknya hasil daya usaha badan Beyond Social Services, Cik Aidah dan anak-anaknya itu tidak lagi perlu pergi jauh hanya untuk menggunakan Internet.



Projek WiFi Kolong Blok Kebun Baru itu bertujuan menyediakan sambungan Internet percuma kepada isi rumah berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang tinggal di flat sewa.



Sebagai sebahagian program ini, kolong di Blok 245 Ang Mo Kio Avenue 3 (sebahagian SMC Kebun Baru) telah dipasang dengan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi yang menyediakan akses Internet tanpa wayar untuk 300 isi rumah berpendapatan rendah di dua flat sewa di kawasan itu.



Ketua projek tersebut yang juga merupakan sukarelawan dengan Beyond Social Services, Cik Rebecca Chiu, memberitahu Berita Harian:



"Dalam zaman digital ini, tidak mempunyai akses kepada Internet seakan menggunakan lilin dalam dunia yang menggunakan elektrik - ia meletakkan seseorang pada tahap serba kekurangan dari segi pendidikan, pekerjaan dan peluang lain.



"Semasa menjalankan projek ini, saya benar-benar mahu membolehkan semua orang dalam masyarakat mempunyai akses kepada Internet."



Projek itu disokong oleh rakan korporat dan penaja termasuk firma guaman Allen & Overy, rakan teknologi m1 dan Bridge the Digital Divide, sebuah daya usaha tanggungjawab sosial oleh syarikat kecil dan sederhana (SME) setempat.



Ia turut disokong Anggota Parlimen Kebun Baru, Encik Henry Kwek.



"Covid-19 telah menjadikan inklusiviti digital suatu tugas yang lebih mendesak.



"Kami membuat permulaan yang baik dengan Blok 245. Saya bertekad mencari cara melakukannya bagi lebih banyak blok sewa di Kebun Baru," ujar Encik Kwek.



Memuji usaha tersebut, Cik Aidah berkata:



"Sejak projek ini bermula awal Ogos lalu, saya dan keluarga selalu pergi ke bawah blok untuk gunakan WiFi.



"Saya rasa lebih selamat dan rasa lega apabila saya tahu anak-anak saya hanya berada di bawah menggunakan WiFi, bukan di McDonald's atau RC Bestari dengan mereka mungkin pulang lewat malam."



Beliau kadang-kadang akan menemankan anak-anaknya jika mereka ke McDonald's kerana tidak mahu mereka pulang berseorangan pada waktu malam.



"Budak muda sekarang selalu gunakan WiFi untuk terus berhubungan dengan kawan.



"Lagipun, kalau mereka tak tahu sesuatu yang berkaitan dengan tugasan sekolah, mereka boleh gunakan Internet untuk cari jawapan.



"Bagus juga apabila saya tahu anak-anak saya ada berdekatan dan mereka selamat, saya tak perlu bimbang jika mereka keluar sendiri atau mungkin mereka bercampur dengan orang yang salah," ujar Cik Aidah.




PROJEK WIFI KOLONG BLOK KEBUN BARU



Dilancarkan pada Ogos 2020 di Blok 245 Ang Mo Kio Avenue 3.



Projek ini hasil daya usaha Beyond Social Services dan bertujuan menyediakan sambungan Internet percuma kepada isi rumah berpendapatan rendah terutama mereka yang tinggal di flat sewa.



Disokong oleh rakan korporat dan penaja termasuk firma guaman Allen & Overy, rakan teknologi m1 dan Bridge the Digital Divide, daya usaha tanggungjawab sosial oleh syarikat kecil dan sederhana (SME) setempat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >