MELEBIHI tumpuan menaikkan gaji, majikan digalak memberi lebih perhatian pada aspek kesejahteraan pekerja gaji rendah, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Oleh itu, pemerintah memperkenal Piawaian Tiga Pihak bagi Mempertingkat Kesejahteraan Pekerja Gaji Rendah menyusuli saranan yang dikemukakan Kumpulan Kerja Tiga Pihak.
Encik Zaqy berkata piawaian tiga pihak itu memberi tumpuan pada bidang seperti latihan dan pembangunan kerjaya, penyediaan kawasan rehat dan kesejahteraan mental.
"Piawaian Tiga Pihak (TS) ialah satu set amalan pekerjaan baik yang harus dilaksana oleh semua majikan di tempat kerja mereka. Kami menyedari bahawa tenaga kerja kita telah mengalami gangguan ketara terhadap pekerjaan mereka akibat Covid-19.
"Adalah penting majikan memupuk persekitaran kerja sihat," kata Encik Zaqy semasa perbahasan belanjawan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) di Parlimen semalam.
Dalam usaha lain bagi memperkasa kesejahteraan pekerja gaji rendah, pemerintah juga akan melancarkan akreditasi Tanda Gaji Progresif (PW Mark) pada separuh kedua tahun ini, menurut Encik Zaqy.
Beliau menekankan bagi memperkukuh kompak sosial, usaha Rakan Kongsi Tiga Pihak dan majikan sahaja tidak mencukupi.
Setiap pengguna juga perlu menyedari bahawa mereka juga ada peranan yang boleh dimainkan, ujar beliau.
"Kami ingin membantu pengguna individu dan pembeli korporat dengan mudah mengenal pasti majikan progresif yang menyokong pekerja gaji rendah, serta menyokong majikan ini melalui pembelian mereka," tambah Encik Zaqy.
Majikan yang membayar sekurang-kurangnya Gaji Progresif Sektor atau Pekerjaan kepada pekerja layak, serta Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan kepada semua pekerja tempatan lain akan diberi 'PW Mark' ini.
Majikan yang telah menerima pakai Piawaian Tiga Pihak bagi Mempertingkat Kesejahteraan Pekerja Gaji Rendah baru itu akan diiktiraf dengan akreditasi 'PW Mark Plus'.
Encik Zaqy turut mendedahkan bahawa MOM telah mendapatkan sokongan daripada Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) bagi membantu berhubung penerimaan PW Mark dalam kalangan rakan industri.
Beliau juga berkata pemerintah akan turut berusaha memberi sokongan kepada pelaksanaan piawaian itu,
Ini akan dilaksana mulai Mac tahun depan dengan memastikan pembekal yang dianugerah kontrak daripada pemerintah akan diakreditasi dengan tanda 'PW Mark', bermula dengan kontrak dengan nilai yang lebih besar.
Butiran lanjut akan diumum dalam beberapa bulan akan datang.
"Kami ingin menggalak bakal pembekal memohon dan mendapatkan 'PW Mark' ini lebih awal, sebaik sahaja ia dilancarkan.
"Dengan menggabungkan langkah-langkah Gaji Progresif kita, ini akan meningkatkan lagi jangkauan Gaji Progresif kita kepada hingga 266,000, atau 94 peratus, daripada pekerja bergaji rendah sepenuh masa," kata Encik Zaqy.
Beliau turut menyentuh tentang Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) baru yang diumumkan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan bulan lalu dalam usaha mempertingkat pekerja gaji rendah.
Di bawah skim itu, pemerintah akan membantu membiayai bersama kenaikan gaji pekerja gaji rendah antara 2022 dengan 2026 sedang Model Gaji Progresif (PWM) diluaskan kepada lebih banyak sektor dan pekerjaan.
Pemerintah akan membiayai 50 peratus gaji pekerja gaji rendah yang meraih pendapatan hingga $2,500 sebulan tahun ini dan tahun depan.
Kadar pembiayaan bersama itu akan dikurangkan kepada 30 peratus pada 2024 dan 2025, dan 15 peratus pada 2026.
Sokongan juga akan disediakan kepada pekerja yang membawa pulang pendapatan lebih $2,500 dan hingga $3,000, pada nisbah pembiayaan bersama lebih rendah, dari tahun ini hingga 2024.