Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1 cedera dalam kebakaran di pusat penjaja Marsiling Lane

May 12, 2023 | 5:30 AM
TERJEJAS: Kebakaran itu melibatkan kandungan dalam saluran ekzos dapur di pusat penjaja Marsiling Lane. - Foto ZAOBAO
TERJEJAS: Kebakaran itu melibatkan kandungan dalam saluran ekzos dapur di pusat penjaja Marsiling Lane. - Foto ZAOBAO -

SEORANG mangsa telah dikejarkan ke hospital setelah terlibat dalam satu kebakaran di pusat penjaja di Blok 20, Marsiling Lane, pada pagi Khamis.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihaknya diberitahu tentang kebakaran itu sekitar 8.20 pagi.

Kebakaran itu melibatkan kandungan dalam saluran ekzos dapur di pusat penjaja dan SCDF memadam api itu menggunakan jet air.

Sekitar 40 orang keluar dari tempat kejadian sebelum SCDF tiba.

Seorang dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH) setelah mengalami kecederaan akibat kebakaran.

"Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari kawasan dapur salah satu gerai yang terjejas," kata SCDF.

Ia mengingatkan orang ramai, terutama pemilik gerai, tentang pencegahan kebakaran melibatkan saluran ekzos dapur, iaitu dengan tidak meninggalkan masakan tanpa diawasi dan memastikan dapur, kawasan sekelilingnya dan pembuka saluran ekzos bebas daripada kesan minyak dan gris selain menyelenggaranya sekurang-kurangnya setahun sekali.

Satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan kepulan asap kelabu besar keluar dari bahagian atas pusat penjaja itu.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan) dan Penasihat GRO GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Zaqy Mohamed, dalam satu kiriman Facebook berkata tiada penjual atau penduduk cedera teruk dalam kejadian itu.

"Sederet gerai terjejas oleh kebakaran itu dan tidak dapat beroperasi hari ini.

"Pasukan Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee sedang bekerja keras untuk membantu dengan menggantikan kabel penyaluran, saluran ekzos dan membersihkan kawasan terjejas.

"Kami berharap ini dapat dipulihkan segera supaya kebanyakan gerai dapat kembali beroperasi tidak lama lagi," kata Encik Zaqy.

Beliau menambah mungkin hingga empat gerai paling terjejas kerana pembaikan diperlukan untuk mereka beroperasi, mungkin mengambil masa beberapa minggu bagi menggantikan bahagian yang rosak dan menyelesaikan pembaikan.

"Saya telah temui beberapa peniaga yang terjejas dan memberi jaminan kami akan melakukan yang terbaik bagi membantu mereka dengan pelbagai keperluan serta mendapatkan bantuan agensi berkaitan.

"Kami juga mendengar berita gembira pembantu gerai yang mengalami kecederaan ringan berada dalam keadaan baik dan sedang berehat di rumah sekarang," kata Encik Zaqy.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg