Kira-kira satu daripada 10 permohonan untuk perintah perlindungan peribadi (PPO) adalah oleh ibu bapa yang meminta dilindungi daripada anak mereka sendiri, angka yang kekal sama sejak lima tahun lalu.
Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC) berkata, antara PPO yang difailkan oleh ibu bapa terhadap kanak-kanak, sekitar 9 peratus difailkan terhadap kanak-kanak di bawah umur 21 tahun.
Isu itu mendapat perhatian ekoran laporan baru-baru ini tentang para remaja yang menyerang ibu bapa mereka, lapor The Sunday Times.
Pada Jun, seorang budak lelaki berusia 16 tahun, yang tidak boleh dinamakan disebabkan umurnya, mengaku bersalah atas kesalahan termasuk menyebabkan kecederaan parah dan ugutan jenayah secara sukarela.
Dia telah mendera ibunya yang berusia 52 tahun selama sekurang-kurangnya lapan bulan hingga menyebabkan ibunya mengalami lebam di muka dan patah tulang rusuk.
Dia juga telah menarik ibunya ke dapur dan mengugut untuk membunuhnya dengan pencincang.
Remaja itu kini sedang dinilai untuk probesen dan akan kembali ke mahkamah pada Ogos untuk dijatuhkan hukuman.
Dalam kes yang lain, seorang remaja, Naydhan Subhash, 19 tahun, telah diarah untuk menjalani latihan reformasi selama sekurang-kurangnya enam bulan selepas mengaku bersalah pada Februari atas pertuduhan serangan dan gangguan.
Dalam kejadian pada 2022, dia memberitahu ibunya selepas pertengkaran bahawa dia akan “mengeluarkan usus”... “kelar leher” dan “tampar” ibunya.
Keganasan keluarga selalunya melibatkan satu pihak yang inginkan kuasa dan kawalan, kata Cik Kristine Lam, pekerja sosial utama Care Corner Singapore, sebuah agensi perkhidmatan sosial (SSA).
Tetapi ini bukan sebab remaja menggunakan kekerasan terhadap ibu bapa mereka, katanya, sambil menambah bahawa sesetengah remaja memukul ibu bapa mereka sebagai tindak balas yang tidak wajar kepada situasi yang tertekan.
“Apabila situasi buruk mengatasi keupayaan mereka untuk mengatasi, mereka mungkin meluahkan kekecewaan, ketidakberdayaan atau ketakutan mereka dengan cara yang agresif,” kata jurucakap daripada Jabatan Psikiatri Perkembangan, Pemulihan Forensik, Intervensi, Perkhidmatan Pembangunan Rangkaian Penilaian (Friends) dari Institut Kesihatan Mental (IMH).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg