SATU dalam tiga warga Singapura mengalami tekanan darah tinggi, naik 50 peratus daripada 2017, menurut satu tinjauan kesihatan nasional.
Dengan lebih ramai yang berisiko menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, warga dinasihatkan untuk meningkatkan kegiatan fizikal serta mengurangkan pengambilan garam dan gula bagi mengurangkan risiko tersebut.
Demikian dinyatakan Kementerian Kesihatan (MOH) apabila ia mengongsi dapatan daripada laporan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2020 dalam satu kenyataan semalam.
Tinjauan yang diadakan dari Julai 2019 hingga Mac tahun lalu itu mendapati 10.5 peratus penduduk mengalami berat badan berlebihan dan 20.7 peratus mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) berisiko tinggi, satu peningkatan berbanding 8.6 peratus dan 18.7 peratus masing-masing yang dicatatkan pada 2017.
Tinjauan itu juga mendapati peratusan warga yang melakukan kegiatan fizikal sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu tahun lalu ialah 76.4 peratus, turun daripada 80.9 peratus pada 2017.
Ini meskipun bilangan warga yang melakukan senaman kerap waktu riadah tahun lalu naik kepada 33.4 peratus daripada 29.4 peratus pada 2017.
Sementara itu, peratusan warga yang didapati mengalami tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi didapati semakin meningkat.
Sekitar 35.5 peratus warga mengalami tekanan darah tinggi dalam tempoh 2019 hingga tahun lalu, naik daripada 24.2 peratus pada 2017.
Sekitar 39.1 peratus orang pula mempunyai kadar kolesterol tinggi dalam tempoh sama, berbanding 35.5 peratus pada 2017.
Bilangan warga yang mengalami kencing manis pula naik sedikit kepada 9.5 peratus dalam tempoh sama berbanding 8.8 peratus pada 2017.
NPHS dijalankan setiap tahun oleh MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bagi menjejaki faktor risiko dan kesihatan, serta amalan gaya hidup penduduk Singapura berusia antara 18 dengan 74 tahun.
Ia sepatutnya dijalankan hingga Jun tahun lalu, tetapi telah diselesaikan sebelum pemutus rantaian jangkitan (CB) bermula pada April.
Ini bagaimanapun tidak menjejas dapatan tinjauan itu, kata MOH, kerana mereka berjaya mendapatkan jumlah sampel yang mencukupi.
Dapatan tinjauan itu akan digunakan oleh MOH dan HPB untuk menjejak kemajuan ke arah sasaran kesihatan nasional, dan bagi perancangan serta penilaian dasar kesihatan, program dan khidmat penjagaan kesihatan.
SEKILAS DAPATAN TINJAUAN KESIHATAN
GEMUK, BMI RISIKO TINGGI
PENYAKIT KRONIK
PENGAMBILAN GARAM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg