SATU daripada dua pesalah yang dikaitkan dengan serangan pada 10 Mei lalu, di mana mangsa yang cedera ditemui di Bishan, dikatakan telah melakukan kesalahan ketika dibebaskan dengan ikat jamin. Sebelum kejadian pada Ahad, Gervan Wong Jun Heng, 24 tahun, telah diheret ke mahkamah dan telah dikenakan 24 tuduhan bagi kesalahan termasuk mengambil dadah jenis methamphetamine dan dua tuduhan serangan lain. Wong dan Andre Chen Si'en, 29 tahun, berada di mahkamah pada Selasa atas dakwaan mereka terlibat dalam serangan pada Ahad yang menyebabkan Encik Douglas Wong Wei Hao, 30 tahun, mengalami beberapa kecederaan, termasuk lengan kiri yang bengkok, luka tusukan pada kedua kaki dan luka di kepalanya. Kedua-dua mereka masing-masing didakwa dengan satu tuduhan menggunakan senjata untuk menyebabkan kecederaan teruk kepada Encik Douglas Wong di Tanah Perkuburan Choa Chu Kang sekitar 3 pagi pada Ahad. Gervan Wong dituduh menyerangnya dengan belantan besi, manakala Chen dikatakan melakukannya dengan penumpuk buku jari. Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana Encik Douglas Wong berada di Bishan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg