Seorang pekerja subkontraktor agensi air negara PUB maut selepas terhidu gas beracun semasa melakukan pembersihan rutin tangki di loji air PUB di Choa Chu Kang pada 23 Mei.
Pekerja itu merupakan salah seorang daripada tiga yang rebah dan ditemui tidak sedarkan diri di loji itu sekitar 11.15 pagi.
Ketiga-tiga mereka dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum seorang disahkan meninggal dunia.
Dua pekerja yang terselamat kini berada dalam Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Besar Ng Teng Fong.
Dalam satu kenyataan, PUB berkata siasatan awal yang dilakukan menunjukkan bahawa pekerja telah terhidu hidrogen sulfida – sejenis gas yang dihasilkan daripada minyak kotor, yang merupakan sisa daripada proses rawatan air.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kejadian yang melibatkan bahan berbahaya (HazMat) di 51 Nanyang Drive sekitar 11.25 pagi.
Anggota bomba dan pakar HazMat dengan peralatan perlindungan diri menggunakan dua pancutan air untuk memencarkan gas beracun itu.
Selepas sekitar sejam “penyebaran wap”, tiada lagi hidrogen sulfida dikesan dalam loji itu, kata SCDF.
Ia menambah bahawa bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah dilakukan ke atas salah seorang pekerja dalam perjalanan ke hospital.
Hidrogen sulfida adalah sejenis gas kuat yang tidak berwarna.
Menurut laman web, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh) Amerika Syarikat, baunya seperti telur busuk atau kumbahan. Ia sangat toksik dan mudah terbakar
Pendedahan kepada gas tersebut boleh menyebabkan kerengsaan mata dan sistem pernafasan, serta boleh menyebabkan seseorang itu koma.
Pekerja dalam industri rawatan air sisa adalah kumpulan berisiko, tambah laman Niosh.
Dalam penilaian kesan alam sekitar yang diterbitkan pada 2022, Loji Air Choa Chu Kang dianggap sebagai bahagian penting untuk keselamatan air Singapura.
Ia membekalkan sebanyak 80 juta gelen air minuman selamat ke bahagian barat negara.
Kilang itu menjalani kerja-kerja pembinaan pada 2022, yang dijangka siap menjelang 2026.
Sebagai langkah berjaga-jaga, agensi air kebangsaan itu akan melaksanakan masa rehat demi keselamatan (para pekerja) dalam operasi serupa di ruang tertutup, selain menyemak langkah keselamatan berkaitan.
“PUB mengutamakan keselamatan dan kesihatan di semua tempat kerja kami. Kami akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan kes,” kata PUB.
Ia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pekerja yang meninggal dunia dan berkata ia berhubung dengan kontraktornya dan akan memberikan sokongan kepada ahli keluarga pekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg