MAJLIS Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke-19 telah dilantik dengan 10 anggota majlis baru, antaranya ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex Limited, Encik Mohamed Ismail Abdul Gafoor dan Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Kalthom Muhammad Isa.
Ini di samping tujuh anggota Majlis yang telah dilantik semula.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Muis semalam, Majlis baru itu terdiri daripada pemimpin kanan dan pemimpin muda daripada pelbagai latar belakang - sektor sosial, agama, korporat, perkhidmatan awam dan pendidikan.
Ia akan membimbing usaha berterusan Muis dalam menyokong pembangunan sektor keagamaan yang mampan dan keperluan sosio-agama masyarakat Islam di Singapura, kata Muis.
Anggota majlis telah dilantik oleh Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob di bawah Seksyen 7 Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), dan akan berkhidmat dalam penggal tiga tahun mulai 7 Ogos lalu.
Di samping Presiden Muis, Encik Mohd Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan, Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir; Majlis Muis terdiri daripada mereka yang disarankan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad serta Encik Saat menerusi senarai pencalonan oleh pelbagai pertubuhan Melayu/Islam.
Mengulas, Encik Masagos berkata pelantikan itu menekankan kepentingan Muis sebagai pertubuhan yang pandang ke hadapan yang mempunyai kepercayaan dan keupayaan bagi menyokong masyarakat dalam mengharungi cabaran sosio-agama yang semakin rumit.
"Sebagai badan membuat keputusan keseluruhan Muis yang bertanggungjawab atas penggubalan dasar keagamaan dan rancangan operasinya, Majlis ini memainkan peranan amat penting untuk memastikan bahawa keperluan sosio-agama masyarakat kita terjaga.
"Untuk mencapai demikian, sebuah kepimpinan yang menggabungkan kebijaksanaan mereka yang berpengalaman dengan minat mereka yang muda adalah perlu. Saya yakin Majlis baru ini akan dapat menyumbang secara meluas dan menawarkan bimbingan mengenai pelbagai isu untuk membawa Muis ke depan," katanya.
Encik Kadir berkata, Majlis Muis ke-19 ini akan menawarkan perspektif yang lebih menyeluruh apabila membincangkan isu memandangkan ia terdiri daripada anggota yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang khusus.
"Muis sentiasa melihat peluang untuk mengembangkan Majlis dengan anggota yang mempunyai pandangan dan ilmu yang khusus. Ini adalah untuk memahami dengan lebih baik dan menangani isu yang masyarakat sedang menghadapi kini dan pada masa depan," jelasnya.
ANGGOTA MAJLIS MUIS KE-19
KEPIMPINAN MUIS
Encik Mohd Saat Abdul Rahman
Encik Kadir Maideen
Dr Nazirudin Mohd Nasir
LANTIKAN SEMULA
Bekas Pendaftar, ROMM
Pengerusi, InfoFabrica Holdings Pte Ltd
Ketua Pegawai Eksekutif, Mendaki
Presiden Pergas
Pensyarah Bersekutu, Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak
Presiden, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM)
Pengarah Eksekutif Andalus Corporation
LANTIKAN BARU
Peguam Sekutu Kanan, K&L Gates Straits Law LLC
Pengawal Kewangan Kumpulan, Times Publishing Limited
CEO dan Pengerusi, PropNex Limited
Pengurus Sumber Manusia (HR), Mohamed Mustafa & Samsuddin Co Pte Ltd
Naib Presiden I, Muhammadiyah
Pengarah Urusan, Esmail & Ahmed Brothers (1922) Pte Ltd
Pengarah Urusan, Bio Dew Management International & Institute (BDMI)
Naib Presiden Pergas dan Pendaftar Persatuan Mualaf Muslim
Naib Presiden II Pertapis juga Peguam Kanan, Certis CISCO
Doktor Perubatan, Pusat Endoskopi dan Pembedahan Pacific


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg