Sebanyak 10 bahan psikoaktif baru (NPS) akan dimasukkan ke dalam Jadual Pertama Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 (MDA) mulai 1 Julai.
Pindaan itu juga akan merangkumi substituen dan isomer baru serta definisi derivatif cannabinol yang diperluas.
Derivatif cannabinol seperti tetrahydrocannabinol (THC) merupakan bahan yang terdapat dalam pokok ganja.
Bahan-bahan yang lebih biasa ditemui dalam pokok ganja sudah pun dianggap terkawal di bawah MDA, namun Biro Narkotik Pusat (CNB) telah mengesan derivatif baru yang mempunyai kesan berbahaya yang sama seperti THC.
“Untuk membolehkan kami mengambil tindakan terhadap individu yang berurusan dalam derivatif baru ini, kami akan memperluaskan pentakrifan derivatif cannabinol dalam MDA supaya derivatif baru ini turut terangkum,” kata CNB dalam satu kenyataannya pada Jumaat.
CNB juga berkata pindaan tersebut adalah demi memastikan NPS dan varian cannabinol yang baru muncul boleh ditangani sebagai dadah terkawal di bawah MDA.
“CNB sentiasa menyemak strateginya untuk meningkatkan pengesanan NPS dan penguatkuasaan terhadap penggunaan haram, termasuk penyenaraian NPS baru dalam Jadual Pertama,” kata kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg