Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

10 cara cuaca panas akan ubah kehidupan di S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

10 cara cuaca panas akan ubah kehidupan di S’pura

Apr 21, 2024 | 05:31 AM



Selamat datang ke masa depan dengan hari (dan malam) lebih panas dan rancangan untuk ke luar rumah harus dibuat dengan teliti.

Aplikasi cuaca, terutama yang dapat menunjukkan tekanan haba, akan menjadi teman karib anda.

Anda juga memerlukan pakaian sesuai untuk mengatasi bahang – dibuat menggunakan fabrik yang membolehkan aliran udara dan dapat menyerap kelembapan.

Cara kita menjalani kehidupan dan juga reka bentuk bandar kita perlu diubah untuk mengelakkan kesan terburuk daripada haba dan kelembapan tinggi.

Bagaimanapun, ia tidak semuanya buruk; beberapa perubahan akan memberi kesan positif.

Tetapi kita mesti berubah. Tahun ini, 2024, boleh menjadi yang paling panas dalam sejarah, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebahagian daripada ini disebabkan oleh pengaruh berlarutan iklim El Nino yang kuat.

Perubahan iklim adalah pemacu utama bagi suhu sejagat yang semakin meningkat dan keadaan hanya akan menjadi lebih panas selepas ini, melainkan dunia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang memanaskan planet dengan cepat dan mendalam.

Kawasan tropika yang sudah pun panas seperti Asia Tenggara, berdepan risiko daripada suhu dan kelembapan yang lebih tinggi.

Perbandaran yang semakin meningkat juga memburukkan keadaan.

Bandar-bandar besar, padat dengan bangunan konkrit dan batu bata serta dibarisi jalan asfalt hitam, menyerap panas matahari pada waktu siang dan melepaskannya pada waktu malam.

Haba daripada alat hawa dingin, kereta, trak, bas dan industri meningkatkan lagi suhu bandar.

Sebagai konteks, majoriti penduduk dunia sudah pun tinggal di bandar.

Menjelang 2050, jumlah ini akan meningkat kepada 70 peratus, kata PBB.

Dan pada masa itu, hampir 1,000 bandar akan melihat purata suhu tinggi mereka mencapai atau melepasi 35 darjah Celsius semasa musim panas, daripada sekitar 350 bandar kini, menurut C40, sebuah rangkaian sejagat yang terdiri daripada hampir 100 mayor bandar utama dunia.

Asia, Afrika dan Amerika Utara terutamanya berisiko terhadap suhu bandar yang melampau.

Jadi bersiap sedialah: Gunakan kaca mata hitam anda, pakai topi, calitkan pelindung matahari dan bawa sebotol air. Berikut 10 cara hidup anda akan berubah di Singapura:

1. Bersenam dengan berhati-hati


Waktu anda keluar berjalan pantas atau berlari-lari anak mungkin perlu diubah. Tapi waktu yang biasanya lebih sejuk sekitar subuh atau senja pun mungkin masih terlalu panas dan lembap untuk tempoh senaman yang berpanjangan di luar.

Lebih baik jika anda periksa dulu bacaan tekanan haba tempatan, seperti khidmat nasihat tekanan haba Singapura yang boleh didapatkan di aplikasi myENV. Ia berfungsi seperti isyarat lalu lintas – rendah (hijau), sederhana (kuning) dan tinggi (merah). Bacaan itu berdasarkan Wet Bulb Globe Temperature (WBGT) yang mengambil kira suhu udara, kelembapan, kelajuan angin dan sinaran suria.


Kanak-kanak amat terdedah kepada tekanan haba. Ibu bapa perlu lebih berhati-hati ketika membiarkan anak-anak meluangkan masa yang lama di luar rumah apabila suhu tinggi.

Bagaimana pula dengan menyertai perlawanan ragbi, berlari maraton atau bermain tenis? Sebarang senaman berat pada waktu paling panas mungkin menjadi semakin berbahaya. Malah bermain golf pada waktu tengah hari pun boleh menjadi perkara lampau.


Mengelak waktu terpanas boleh mengurangkan pendedahan kepada paras sinaran ultraungu yang tinggi, yang boleh menyebabkan barah kulit.

2. Pakaian selesa


Apa yang kita pakai juga akan berubah. Tetapi adakah kita masih boleh kelihatan cantik atau segak di tengah-tengah panas terik dan kelembapan yang melemaskan? Boleh. Pakaian sesuai yang bergaya pasti laris.

Topi adalah satu kemestian. Kaca mata hitam yang bergaya tetapi tetap memberi perlindungan juga diperlukan. Pakar berkata kita harus mengelakkan pakaian berlapis-lapis. Trend kini ialah kain kapas yang membolehkan aliran udara, pakaian longgar atau bahan sintetik yang membolehkan aliran udara, tidak menyerap peluh dan menghalang sinaran ultraungu daripada sampai ke kulit. Pakaian juga perlulah berwarna terang.


Keperluan utama ialah pakaian yang membolehkan aliran udara tetapi memberi perlindungan untuk angkatan bersenjata, pekerja tindak balas kecemasan dan pekerja pembinaan. Golongan dalam sektor ini menghadapi cabaran besar untuk kekal selesa semasa hari sangat panas.


3. Panas, rimas dan gelisah


Kajian dalam beberapa tahun kebelakangan menunjukkan bahawa apabila orang berasa panas hingga tidak selesa, kemungkinan berlaku serangan fizikal dan keganasan meningkat. Dan keupayaan seseorang untuk fokus dan bekerja secara produktif juga merosot.

Satu kajian di Amerika Syarikat yang meneliti data jenayah di Los Angeles dari 2010 hingga 2017 mendapati bahawa jenayah keganasan meningkat semasa cuaca panas.

Satu lagi kajian mendapati bahawa keganasan dalam penjara tidak berhawa dingin di negeri Mississippi turut melonjak semasa cuaca panas dan lembap.

Oleh itu, jika anda berasa darah anda mendidih, tarik nafas dalam-dalam dan ingatkan diri anda tentang pengaruh cuaca panas yang boleh menyebabkan anda menjadi panas baran.

4. Sekolah, pusat penjaja
lebih dingin


Untuk mengurangkan risiko tekanan haba dan meningkatkan pembelajaran serta tumpuan kanak-kanak, sekolah perlu memasang penyaman udara.

Tetapi jika boleh, sekolah harus menggunakan bumbung untuk memasang panel suria serta penyimpanan bateri untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik daripada sumber bahan api fosil.

Bukan hanya sekolah, banyak pusat penjaja di Singapura, walaupun berbumbung, boleh menjadi agak panas, walaupun dengan kipas di atas kepala. Alat hawa dingin perlu dihidupkan untuk memastikan pelanggan gembira sambil menikmati hidangan kegemaran mereka.

Mungkin memang tidak ada banyak pilihan. Kajian Perubahan Iklim Kebangsaan Ketiga Pemerintah Singapura, yang dikeluarkan pada Januari 2024, mengunjurkan bahawa purata suhu harian negara ini boleh meningkat hingga 5 darjah Celsius menjelang akhir abad ini jika pelepasan gas rumah hijau sejagat terus bertambah.


5. Bil elektrik yang lebih besar


Tidak dapat dielakkan, penggunaan alat hawa dingin akan meningkat apabila siang dan malam menjadi lebih panas. Ini akan menyebabkan lebih banyak pelepasan gas rumah hijau kerana lebih ramai orang menggunakan alat hawa dingin. Tetapi ini boleh dikurangkan sedikit sebanyak jika jenis unit penyaman udara yang paling cekap dipasang.

Namun, kemungkinan besar bil elektrik anda akan meningkat kerana anda perlu menggunakan alat hawa dingin lebih kerap dan lebih lama. Sudah tentu, jika anda bekerja dari rumah, anda sentiasa boleh kembali ke pejabat lima hari seminggu untuk menjimatkan bil elektrik anda.

6. Perubahan dalam rancangan perjalanan


Ingin melawat Sepanyol atau pulau tropika terpencil? Rancangan perjalanan anda perlu mengambil kira risiko haba.

Sesetengah tempat akan menjadi terlalu panas untuk dikunjungi semasa musim panas – mungkin lebih selamat ke sana pada lewat musim luruh atau musim sejuk.

Cuaca yang lebih panas dan lebih lembap juga berkemungkinan mencetuskan ribut yang lebih kuat dan kemungkinan banjir, satu lagi perkara yang perlu dielakkan semasa percutian anda. Dan malangnya, percutian melawat terumbu karang boleh menjadi satu perkara yang tidak dapat dilakukan lagi – laut yang semakin panas telah merosakkan banyak terumbu dan masa depan mereka kelihatan suram.

7. Waktu kerja yang berbeza


Jika anda banyak bekerja di luar rumah – mungkin dalam pembinaan, pertanian atau sebagai posmen – waktu kerja anda mungkin perlu berubah untuk mengelakkan bahagian yang paling panas pada hari itu.

Hari anda mungkin bermula sebelum subuh dan kemudian anda berehat antara 11 pagi dengan 4 petang. Beberapa kerja berat, terutama dalam industri pembinaan, mungkin terpaksa beralih kepada waktu malam.

Negara Teluk seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait dan Oman melarang penduduk bekerja di luar selama beberapa jam bermula dari tengah hari semasa musim panas, apabila suhu siang hari boleh mencapai lebih 50 darjah Celsius. Qatar melarang sebarang kerja luar apabila WBGT naik melebihi 32.1 darjah Celsius.

Terdapat sebab yang baik untuk ini. Pendedahan yang berpanjangan kepada tekanan haba yang tinggi boleh menyebabkan kerosakan jantung dan buah pinggang dan juga kematian. Pekerja yang panas dan letih juga berisiko melakukan kesilapan kerana kurang tumpuan. Produktiviti merosot.


Pekerja juga memerlukan rehat yang kerap, akses kepada minuman sejuk dan pakaian yang memberi perlindungan dan membolehkan aliran udara.

8. Pulau penyaman,
ketua pegawai haba


Pulau ini merujuk kepada tempat dalam bandar dengan penduduk tempatan boleh melarikan diri daripada suhu panas.

Sebagai contoh, Paris telah mencipta rangkaian terdiri daripada lebih 800 ruang seperti taman dan hutan, kolam renang dan muzium, dengan penduduk dan pelawat boleh menyejukkan diri mereka.

Pulau-pulau itu dihubungkan oleh laluan pejalan kaki yang sejuk secara semula jadi. Matlamatnya ialah semua penduduk dapat berjalan ke pulau atau laluan pejalan kaki yang sejuk dalam masa tujuh minit.

Bandar lain juga mempunyai tempat orang ramai boleh mencari perlindungan daripada panas terik. Los Angeles mempunyai lebih 100 tapak seperti perpustakaan, pusat warga emas dan taman.

Singapura juga mempunyai kawasan penyejuk termasuk perpustakaan. Tetapi yang paling terkenal ialah pusat beli-belah, lobi hotel dan stesen MRT. Namun, sentiasa ada keperluan untuk adakan lebih banyak tempat sejuk.

Los Angeles, Melbourne, Athens dan bandar lain mempunyai ketua pegawai haba yang meningkatkan kesedaran tentang risiko haba melampau serta huraian bagi menanganinya. Singapura boleh dijangka mempunyai peranan serupa juga.

9. Bangunan lebih sejuk


Warna gelap menyerap haba, warna lebih terang melantunkannya. Itulah sebabnya putih adalah warna bangunan yang sering dilihat di sepanjang Mediterranean.

Bangunan dan rumah dengan bumbung dan dinding putih biasanya lebih sejuk.

Di Singapura, cat pemantul haba sedang diuji pada dinding dan bumbung bangunan komersial dan perumahan serta di atas laluan pejalan kaki.

Pada masa hadapan, semua kereta, bas dan trak akan berwarna putih juga. OK, ini mungkin tidak akan berlaku, tetapi kenderaan berwarna gelap menggunakan lebih banyak tenaga untuk menjalankan sistem penyejukan mereka.

10. Bandar lebih hijau


Jangkakan lebih banyak tumbuh-tumbuhan di atas bumbung juga, serta lebih banyak pokok dan pokok renek di sepanjang jalan. Taman juga boleh diperluaskan.

Bangunan juga mungkin dijarakkan dengan lebih baik untuk meningkatkan aliran udara; lebih ramai orang akan digalakkan menaiki pengangkutan awam; dan kita boleh menjangkakan lebih banyak ciri air, seperti kolam dan semburan kabus, di sekeliling kita.

Rencana ini ditulis oleh editor perubahan iklim, ‘The Straits Times’, David Fogarty, dan pertama kali diterbitkan di akhbar tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >