Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 ditahan CNB, dadah bernilai $239,000 dirampas

Apr 29, 2023 | 5:30 AM
3415d71e-05a6-4af7-ad25-5ce72d2cf105
-

SERAMAI 10 warga Singapura telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dadah.

Dadah bernilai $239,000 telah dirampas dalam operasi Biro Narkotik Pusat (CNB) yang dijalankan pada Rabu dan Khamis.

Kira-kira 3.2 kilogram(kg) heroin; 81 gram (g) methamphetamine atau 'Ice'; 30g ketamin; dan empat pil Erimin-5 telah dirampas.

Jumlah heroin dan 'Ice' yang dirampas bersamaan dengan penggunaan seminggu sekitar 1,550 penagih, kata CNB dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada petang Rabu, pegawai CNB menahan tiga lelaki berusia antara 45 dengan 57 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan dadah di sekitar Jalan Bukit Merah.

Para pegawai merampas 477g heroin, wang tunai berjumlah $36,550 dan pelbagai peralatan dadah.

Salah seorang daripada mereka, yang berusia 45 tahun, kemudiannya diiring ke unit kediaman di kawasan yang sama, di mana 74g heroin dan 26g 'Ice' telah dirampas.

Pada keesokan harinya, pegawai CNB menahan tiga lagi lelaki dan seorang wanita berusia antara 43 dengan 60 tahun kerana disyaki terlibat dalam kesalahan dadah.

Pegawai CNB menjalankan satu lagi operasi pada Rabu di mana mereka menyerbu sebuah flat di persekitaran Tampines Street 22.

Sebelum pegawai dapat masuk ke dalam flat itu, mereka ternampak salah seorang penghuni unit itu sedang turun dari tingkap dapur untuk memasuki ke dalam flat yang terletak di aras bawah.

Lelaki itu, 35 tahun, kemudiannya ditahan. Para pegawai terpaksa masuk ke dalam flat itu secara paksa selepas penghuninya tidak mematuhi arahan mereka.

Dua lagi lelaki di flat berkenaan berusia 40 dan 41 tahun turut ditahan kerana disyaki mengedar dadah.

Sebanyak 32g 'Ice', 30g ketamin, empat pil Erimin-5, dan pelbagai peralatan dadah dirampas dari flat itu.

Sebanyak 2.6kg heroin turut ditemui dan dirampas selepas pemeriksaan lanjut di 'dry riser' yang terletak di luar flat berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki itu kemudian diiringi ke kenderaan mereka, di mana 23g 'Ice', 58 paket rokok seludup, tiga pisau dan peralatan dadah dirampas.

Penolong pengarah kanan operasi risikan CNB, Superintenden William Tan, berkata:

"Dua operasi baru-baru ini, yang melibatkan rampasan besar dadah terkawal, senjata berbahaya dan wang tunai merupakan satu peringatan bahawa kita tidak boleh lalai ketika memerangi dadah."

Siasatan terhadap aktiviti dadah semua suspek yang ditahan sedang dijalankan.

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih daripada 15g Diamorphine (heroin tulen) boleh menghadapi hukuman mati mandatori.

Menurut Akta Penyalahgunaan Dadah, ia satu kesalahan untuk mengimport, mengeksport, memiliki, menjual dan mengambil dadah terkawal atau produk yang mengandungi dadah terkawal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg