DIKIR barat, perarakan tahunan Chingay dan perayaan Thaipusam adalah antara 10 elemen dalam senarai pendek Singapura untuk pencalonan ke senarai warisan budaya tidak ketara (ICH) Unesco.
Lembaga Warisan Negara (NHB) akan berunding dengan orang ramai dalam beberapa bulan akan datang sebelum memutuskan pencalonan kedua negara ini untuk disertakan dalam Senarai Wakil Unesco Warisan Budaya Bagi Kemanusiaan Yang Tidak Ketara, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, di Parlimen semalam.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan berkata, tujuh elemen lain ialah tradisi bersalin; getai; pembuatan dan perkongsian kuih; penanaman anggerik; sulaman Peranakan, amalan perubatan tradisional dan yusheng; serta warisan makanan dan amalan sosial yang berkaitan untuk menyambut Tahun Baru Cina.
Cik Low berkata sekitar 170 peserta menghadiri perbincangan kumpulan fokus yang diadakan oleh NHB antara Jun tahun lalu dengan Januari, termasuk pengamal ICH, pemilik perniagaan warisan dan ahli akademik.
"Melalui perbualan ini, kami mendengar keutamaan yang jelas untuk pencalonan kedua kami bersifat berbilang budaya, dan boleh dikaitkan dengan warga Singapura," katanya.
Penyertaan pertama Singapura dalam senarai ICH Unesco - budaya penjaja - diumumkan pada Disember 2020.
Melangkah ke hadapan, NHB akan berunding dengan orang ramai mengenai senarai pendeknya pada pertengahan tahun ini, dan mengambil cadangan mengenai elemen lain untuk pencalonan.
Selain mengusahakan pencalonan ICH Unesco Singapura yang seterusnya, NHB akan melancarkan pameran bergerak mengenai Peringatan Pengasas akan datang bulan depan.
Berjudul Kongsi Kisah Anda, Bentuk Peringatan Kita, ia akan menampilkan panggilan awam untuk artifak dan cerita yang berkaitan dengan pertemuan bersama pemimpin pengasas Singapura, kata Cik Low.
Orang ramai akan dapat berkongsi cerita mereka melalui sebuah laman web, dan ini juga boleh dikaitkan dengan dasar atau pencapaian Singapura, transformasi bandar dan kemajuan ekonomi.
MCCY menambah bahawa cerita dan objek terpilih yang diserahkan akan dipamerkan dalam galeri peringatan itu apabila ia dibuka pada 2027.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg