Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 kit ART bakal diagih kepada setiap isi rumah

Jul 19, 2022 | 5:30 AM
PENGAGIHAN BERMULA: Usaha mengagihkan kit ART kepada lebih 1.5 juta isi rumah di sini bermula semalam, sedang Singapura mengharungi satu lagi gelombang jangkitan Covid-19.
PENGAGIHAN BERMULA: Usaha mengagihkan kit ART kepada lebih 1.5 juta isi rumah di sini bermula semalam, sedang Singapura mengharungi satu lagi gelombang jangkitan Covid-19. -

SETIAP isi rumah di Singapura akan mendapat 10 kit ujian pantas antigen (ART) dalam peti surat mereka tidak lama lagi.

Ini merupakan kali ketiga semua isi rumah di sini diberikan kit ART sejak pandemik Covid-19 bermula.

Usaha mengagihkan kit ART kepada lebih 1.5 juta isi rumah di sini bermula semalam, sedang Singapura mengharungi satu lagi gelombang jangkitan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan permulaan pengagihan kit ART tersebut menerusi laman Facebook beliau semalam.

Pengagihan kit ART itu diumumkan sebelum ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika ditemui media selepas lawatannya ke salah sebuah pusat vaksinasi mudah alih di Nee Soon Central bersama Encik Ong bulan lalu.

Menerusi laman Facebook mereka, Kementerian Kesihatan (MOH), berkata sesetengah isi rumah mungkin akan menerima kit ART mereka dalam masa beberapa minggu disebabkan jumlah kit yang banyak yang perlu diagihkan.

Menerusi laman Facebook beliau pula, Encik Ong berkata langkah menguji diri sendiri kini sudah tidak asing lagi dalam kehidupan orang ramai.

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai menguji diri mereka jika perlu.

"Kalau anda hendak berjumpa dengan warga emas atau orang yang mudah terjejas, uji diri sendiri sebelum keluar.

"Kalau anda mempunyai simptom jangkitan pernafasan akut (ARI) seperti selesema, sakit tekak atau demam, uji diri anda setiap hari kerana hasil yang positif mungkin hanya dapat dilihat beberapa hari selepas mengalami simptom itu.

"Sikap tanggungjawab sosial adalah penting bagi kita mengharungi gelombang sekarang ini," ujarnya.

Pemerintah telah mengagihkan hampir 25 juta kit ART kepada isi rumah menerusi dua pengagihan serata negara sebelum ini.

Pengagihan pertama berlangsung antara Oktober dengan Disember 2020, manakala pengagihan kedua berlangsung antara Ogos dengan September tahun lalu.

Setiap isi rumah menerima sebanyak 16 kit ART menerusi kedua-dua pengagihan tersebut.

Dalam pada itu, jemaah haji Singapura yang kembali ke tanah air juga diberi kit ART percuma.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menasihatkan jemaah agar mengasingkan diri selama lima hingga tujuh hari selepas pulang ke Singapura kerana dikhuatiri mereka membawa jangkitan yang belum dikesan.

Mereka turut dinasihatkan agar melakukan ujian ART jika perlu keluar rumah dalam tempoh itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg