MAJLIS Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke-19 telah dilantik untuk membimbing usaha berterusan Muis dalam menyokong pembangunan sektor keagamaan secara mampan dan keperluan sosio-agama masyarakat Islam di Singapura.

Di samping Presiden Muis, Encik Saat Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, dan Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, Majlis Muis terdiri daripada mereka yang disarankan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad serta Encik Saat menerusi senarai pencalonan oleh pelbagai pertubuhan Melayu/Islam.

Anggota majlis telah dilantik oleh Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob di bawah Seksyen 7 Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), dan akan berkhidmat bagi penggal tiga tahun mulai 7 Ogos lalu.

Menurut Muis dalam kenyataannya hari ini (19 Ogos), majlis baru itu terdiri daripada pemimpin kanan dan baru yang berasal daripada pelbagai latar belakang - sektor sosial, agama, korporat, khidmat awam dan pendidikan.

Pengalaman tujuh anggota majlis yang telah dilantik semula akan dilengkapi oleh perspektif baru 10 anggota majlis baru.

Mereka termasuk Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Limited, Encik Mohamed Ismail Abdul Gafoor, dan Pendaftar Persatuan Mualaf Muslim, Ustazah Kalthom Muhammad Isa.