POLIS telah memberkas seramai sembilan lelaki dan seorang wanita, berusia 31 tahun dan 56 tahun, dalam operasi serbuan ke atas 17 kedai telefon bimbit di serata Singapura pada Ahad (16 Jan).
Individu tersebut diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mendaftar kad SIM prabayar secara tidak sah menggunakan butiran pelanggan atau warga asing yang belum masuk atau telah keluar dari Singapura, tanpa pengetahuan mereka.
Seramai 34 individu - 15 lelaki dan sembilan wanita - berusia antara 24 tahun dan 68 tahun, sedang membantu dalam siasatan, menurut satu kenyataan polis pada Ahad.
Dalam operasi sembilan jam itu, pegawai daripada Jabatan Ehwal Komersial telah mengadakan serbuan secara serentak ke atas kedai telefon bimbit di Orchard, Geylang, Serangoon, Pasir Ris, Jurong West, Yishun, Woodlands, Boon Lay, Desker Road, Syed Alwi Road dan Rochor Canal Road.
"Siasatan menunjukkan peruncit telefon bimbit ini telah menyalahgunakan sistem komputer yang mengandungi maklumat pendaftaran bagi kad SIM prabayar.
"Peruncit dipercayai mendaftar terlebih dahulu kad SIM ini menggunakan butiran orang lain dan menjualnya kepada pelanggan yang tidak ingin diketahui," kata polis.
Menurut kenyataan polis lagi, penjenayah menggunakan kad SIM prabayar yang didaftar secara tidak sah itu sebagai saluran hubungan rahsia bagi kegiatan seperti pemberian pinjaman tidak berlesen, penipuan, serta kegiatan haram lain.
Contohnya, sindiket penipuan telah didapati menjalankan kegiatan jenayah mereka menggunakan kad SIM sedemikian untuk menghubungi mangsa dan sesama mereka sendiri untuk mengelak daripada dikenal pasti.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan seperti pencetak, komputer riba dan telefon bimbit, serta salinan pasport, kad SIM dan dokumen lain.
Kesalahan mengubah suai bahan komputer yang tidak sah membawa saman tidak melebihi $10,000, jel tidak melebihi tiga tahun, atau kededuanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg