Topik diikuti
Pergi ke BHku103 Adikung Kehormat dilantik Presiden Halimah
103 Adikung Kehormat dilantik Presiden Halimah
23 pegawai dilantik buat pertama kali, termasuk 10 pegawai wanita
103 Adikung Kehormat dilantik Presiden Halimah
SERAMAI 103 Adikung Kehormat (HADC) dilantik Presiden Halimah Yacob pada petang Selasa, termasuk 23 pegawai yang dilantik memikul jawatan itu buat pertama kali.
Puan Halimah dalam ucapannya semasa majlis pelantikan itu di Istana berkata beliau berbesar hati menerima lebih ramai pegawai wanita yang tampil untuk menyertai kor HADC.
Menurutnya, terdapat 10 pegawai wanita yang dilantik menyandang jawatan itu buat pertama kali tahun ini.
Dengan berseloroh, Puan Halimah berkata: "Kalau boleh saya hendak mengkaitkan perkara ini dengan kedudukan saya sebagai seorang Presiden wanita.
"Tetapi saya kira ia adalah satu evolusi semula jadi di mana lebih ramai wanita menyertai pasukan-pasukan dan agensi awam Singapura," tambahnya.
Antara pegawai wanita baru dilantik ialah dua pegawai wanita dari cabang perisikan dan digital terbaru Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS).
Ketika ditemui, Pakar Tentera 4 (ME4) Deborah Koh, Juruanalisis Kanan dari Direktorat Perisikan Gabungan, DIS, berkata beliau berharap dapat menjalin persahabatan baru dengan pegawai HADC dari agensi-agensi lain.
"Dengan pengalaman saya menganjurkan acara-acara rasmi tertentu seperti perbarisan di bawah DIS, saya harap saya dapat menyumbang kemahiran saya itu kepada kor ini," tambahnya.
Selain 23 pegawai yang dilantik pertama kali, baki pegawai HADC merupakan pegawai dilantik semula.
Berkongsi pengalamannya memikul jawatan itu buat kali ke-14 tahun ini, Leftenan Kolonel Khaisarah Mansoor dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata:
"Banyak pengalaman manis yang diraih semasa menjalankan tugas ini. Yang membuatnya menarik adalah anda mewakili pejabat tertinggi negara dan anda juga perlu bijak membawa diri dalam pelbagai senario, daripada bertemu dengan orang umum kepada pegawai kanan dari luar negara," katanya
Sejarah Pegawai HADC bermula sejak sebelum Singapura merdeka, apabila mantan Yang di-Pertuan Negara dan Presiden pertama Singapura, Allahyarham Encik Yusof Ishak, mula melantik HADC bagi membantu dalam pelaksanaan acara negara.
Mereka dianggap sebagai Duta Pejabat Presiden - pejabat taraf tertinggi dalam negara - dan ditugaskan untuk membantu pegawai Adikung sepenuh masa dalam penganjuran dan pelaksanaan acara rasmi.
Ini termasuk lawatan oleh pegawai luar negara serta acara rasmi seperti Rumah Terbuka Istana, di mana orang awam diizinkan masuk ke dalam pekarangan Istana
Pegawai tersebut dilantik dari SAF, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan SCDF dan mereka memikul tugas itu di atas tanggungjawab harian mereka.
Mereka perlu menyumbang sekurang-kurangnya 60 jam bagi tempoh khidmat dua tahun pertama dan bagi tahun ketiga dan selanjutnya, mereka perlu menawarkan khidmat sekurang-kurangnya 48 jam setahun.
Puan Halimah dalam acara makan malam majlis itu berkata: "Anda mempunyai tanggungjawab yang penting demi memastikan setiap pelaksanaan acara dilakukan dengan lancar.
"Anda juga perlu menunjukkan standard profesional tertinggi, termasuk nilai diri dalam kepimpinan, sikap empati dan bijak mencari huraian pada setiap fungsi."
Pada majlis itu juga, Puan Halimah mengumumkan 25 pegawai HADC yang akan bersara dari kor itu tahun ini.

