SERAMAI 105 pelajar dari 20 sekolah menengah, maktab rendah dan politeknik telah mencoret karya kreatif mereka dalam bentuk puisi atau cerpen dalam satu pertandingan anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS).

Dinamakan Bisikan Pena, ia bertujuan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan belia Singapura dan memupuk kesedaran tentang isu sosial dalam masyarakat Melayu melalui karya puisi dan cerpen.

Tema tahun ini, Pencarian Jati, menggalakkan para peserta untuk mendalami identiti mereka melalui introspeksi.

Pada Sabtu, Bisikan Pena mengadakan acara sayembaranya di Perpustakaan Daerah Woodlands, yang dihadiri tetamu terhormat Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

Kagum akan usaha Bisikan Pena, beliau berkata:

"Kita semua perlu bekerjasama untuk memupuk minat dalam bahasa Melayu serta melahirkan generasi yang aktif, kreatif dan kritis."

Menurut PBMUKS, para peserta sebelum ini diperlukan menghadiri bengkel sebelum menulis karya mereka.

Untuk peraduan cerpen, para pelajar telah menimba ilmu daripada Dr Sa'eda Buang, penulis yang telah memenangi beberapa anugerah dan juga Penolong Ketua (Melayu) merangkap Pensyarah Kanan di Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang.

Bagi peraduan puisi - merangkumi pantun, sajak dan syair - peserta menghadiri bengkel penulisan dan penyampaian oleh Encik Shahril Samri, pengasas bagi kumpulan hobi yang dinamakan Pantunism, bagi kategori A dan Cik Asnida Daud, seorang Pakar Kanan di Kementerian Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan, bagi kategori B.

Karya cerpen dinilai oleh Cik Khairiah Amin dari WidzStudio, manakala puisi dinilai Cik Annaliza Bakri dan Encik Farihan Bahron dari Unggun Creative.

Pemenang Naib Juara bagi puisi kategori B dan juga Pemuisi Harapan, Arina Hadirah Suhardi, 16 tahun, berkata walaupun beliau tidak fasih dalam sastera dari segi struktur, rakan-rakan banyak memberi tunjuk ajar dan mereka banyak berlatih selepas sekolah.

"Peraduan ini sangat membantu dari segi pendedahan kerana saya sendiri tidak begitu selesa berbahasa Melayu dan lebih fasih berbahasa Inggeris. Saya berharap dapat sertai lebih banyak (pertandingan seperti ini) pada masa depan," ujar pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah itu. - NUR HUMAIRA SAJAT