SATU-SATUNYA kes Covid-19 dalam masyarakat yang disahkan pada Jumaat (18 September) melibatkan seorang warga Singapura berusia 30 tahun dan buat masa ini belum dikesan daripada mana virus itu dijangkiti.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat malam, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kes tersebut pertama kali menunjukkan simptom pada 13 September, dan semua kontak rapatnya telah diasingkan dan dikuarantin.

Secara keseluruhan, 11 kes Covid-19 baru disahkan hingga 12 tengah hari Jumaat.

Ini merupakan jumlah kes terendah sehari dalam tempoh enam bulan sejak 12 Mac lalu, di mana sembilan kes dilaporkan.

Satu kes yang diimport turut dilaporkan melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari India pada 6 September.

Baki sembilan kes melibatkan pekerja asing yang menginap di dormitori.

Sementara itu lagi 32 kes telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital dan kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan sejumlah 57,071 pesakit telah sembuh sejauh ini.

Seramai 38 pesakit pula masih dirawat di hospital dan lagi 407 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Seramai 27 orang telah meninggal dunia disebabkan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Dalam kenyataan itu juga MOH menyenaraikan tempat-tempat yang dikunjungi pesakit ketika mereka dalam tempoh boleh menjangkiti orang lain dari 3 hingga 15 September.

Salah satu tempat itu ialah Mahkamah Negara di Havelock Square, yang dikunjungi pesakit pada 15 September antara 1.20 petang dengan 2.25 petang.

Orang ramai bagaimanapun tidak perlu menjauhi tempat-tempat itu kerana kerja pembersihan dan penyahjangkitan telah dijalankan, kata MOH.