11 orang didakwa cuba tipu skim skim sokongan Covid-19
11 orang didakwa cuba tipu skim skim sokongan Covid-19
11 orang didakwa cuba tipu skim skim sokongan Covid-19

SERAMAI 11 orang, berumur antara 28 dengan 65 tahun, didakwa di mahkamah pada Khamis (5 Mei) kerana dikatakan cuba mendapatkan wang di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan dua geran sokongan Covid-19 lain dengan menipu. Tiga skim sokongan kewangan itu dilancarkan oleh pemerintah semasa pandemik Covid-19, kata polis pada Khamis. Gay Kah Leong dan Deidrea Tan Zhong Lin dari Kings Spa SG didakwa kerana dikatakan cuba menipu Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) untuk mengeluarkan bayaran daripada JSS sebanyak sekitar $50,000 untuk 36 orang yang tidak melakukan kerja atau menerima gaji seperti yang diisytiharkan. JSS, yang ditadbir oleh Iras, menawarkan sokongan gaji kepada majikan supaya mereka dapat mengekalkan pekerja tempatan mereka. Gay dan Tan, bersama tujuh orang lain, turut didakwa di atas penglibatan mereka dalam memalsukan kontrak pekerjaan dan surat gaji yang diserahkan kepada Iras dan memberikan maklumat palsu. Gay dan dua orang lain juga didakwa kerana dikatakan menipu atau cuba menipu Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga untuk mengeluarkan wang daripada Geran Sokongan Covid-19 dan Dana Bantuan Sementara apabila mereka tidak kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan akibat pandemik itu. Dalam kes berasingan, Teoh Wong Har dari TK Manufacturing and Wholesale Centre dan Wong Lai Kook dari Double Ace Associates didakwa kerana dikatakan cuba menipu Iras untuk mengeluarkan bayaran JSS kepada orang-orang yang sama ada tidak bekerja atau tidak melakukan kerja seperti yang diisytiharkan. . Pembayaran yang diminta itu sekitar $15,000. Mereka yang didapati bersalah menipu atau cuba menipu boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda bagi setiap kesalahan. Bagi pemalsuan akaun, seseorang boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. Bagi setiap kesalahan memberi maklumat palsu, seseorang boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

