Seramai 12 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dibawa ke hospital di Australia pada 24 September, menyusuli satu kemalangan semasa latihan ketenteraan di sana.
Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura dalam satu kenyataan pada 24 September berkata, satu Kenderaan Tempur Berperisai (AFV) Hunter melanggar bahagian belakang satu lagi kenderaan tersebut pada kira-kira 7.40 malam (waktu tempatan) semasa bergerak pulang ke pangkalan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay. Kawasan latihan itu terletak di Queensland.
“Seramai 12 anggota SAF mengalami kecederaan tidak serius, dan mereka telah dibawa ke hospital. Mereka kini sedang dirawat atau pulih dengan baik.
“Keselamatan dan kesejahteraan orang kami adalah amat penting. Tentera telah mengarahkan latihan dihentikan seketika untuk memastikan keselamatan (safety pause) dan mengingatkan pemandu supaya mengekalkan jarak yang betul,” kata Mindef.
Jurucakap Perkhidmatan Ambulans Queensland memberitahu media Australia The Courier-Mail bahawa ia telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 8.30 malam (waktu tempatan) dan mangsa yang cedera telah diterbangkan ke Lapangan Terbang Rockhampton dan dihantar ke Hospital Pangkalan Rockhampton.
Kira-kira 6,200 kakitangan mengambil bahagian dalam Latihan Wallaby dari 8 September hingga 3 November.
Latihan tersebut ialah latihan luar negara satu pihak terbesar yang dijalankan SAF di negara itu, dengan AFV Hunter mengambil bahagian dalam latihan itu buat kali pertama.
Dilancarkan pada 2019, AFV Hunter mempunyai tiga kru - komander kenderaan, penembak dan pemandu. Ia direka bentuk dan dibangunkan di Singapura oleh Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan dengan Tentera Singapura dan ST Engineering
Ia adalah pengganti bagi armada kenderaan tempur berperisai Ultra M113 Tentera Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg