SEBANYAK 12 kes baru Covid-19 baru disahkan di Singapura hingga tengah hari semalam, menjadikan jangkitan koronavirus itu berjumlah 60,300 di Singapura.

Kesemua kes baru itu ialah kes yang import dan telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik sahaja mereka tiba di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.

Tiada kes dalam masyarakat atau di dormitori pekerja asing dilaporkan.

Kelmarin, satu-satunya kes Covid-19 dalam masyarakat, daripada 23 kes baru, merupakan seorang Penduduk Tetap (PR) berusia 48 tahun, yang dikesan apabila beliau menjalani ujian sebelum keberangkatannya sebagai persiapan bagi satu lawatan ke India.

Beliau bekerja sebagai pembungkus makanan sambilan di Sheera di 5 Kaki Bukit Road 1, dan pekerjaannya tidak melibatkan interaksi dengan pelanggan.

Baki 22 kes kelmarin adalah kes import, yang dikenakan SHN atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Mereka termasuk seorang warga Singapura dan dua PR yang pulang dari India dan Kazakhstan.

Sementara itu, 10 lagi kes Covid-19 telah sembuh, menjadikan 60,098 pesakit telah pulih sejauh ini.

Seramai 32 pesakit masih dirawat di hospital, termasuk satu dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU), manakala 113 pesakit diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Sejumlah 30 orang meninggal dunia di sini akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19 sejauh ini.

Di peringkat global, pandemik Covid-19, yang bermula pada pertengahan 2019, telah menjangkiti lebih 126 juta orang.

Lebih 2.7 juta orang maut akibatnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti