SERAMAI 13 orang sedang disiasat kerana didakwa melanggar langkah selamat di sebuah cawangan hiburan awam yang disyaki beroperasi secara haram, kata polis semalam.
Operasi penguatkuasaan ke atas 77 kedai urut dan 59 cawangan hiburan awam telah dijalankan pihaknya di serata Singapura antara 20 Julai dengan 24 Julai.
Suspek itu ditemui di premis komersial di Ubi Road 1 Sabtu lalu dalam salah satu operasi.
Unit itu dipercayai telah beroperasi sebagai sebuah cawangan hiburan awam, kata polis dalam kenyataannya.
Seorang lelaki berusia 25 tahun juga sedang disiasat kerana didakwa menyediakan hiburan awam dan membekalkan minuman keras tanpa lesen di cawangan itu.
Dia disyaki terlibat dalam pengurusan cawangan hiburan awam itu, yang didakwa beroperasi secara haram.
Lapan kedai urut juga didakwa melakukan pelbagai pelanggaran perlesenan di bawah Akta Pertubuhan Urut dan sedang disiasat.
Di bawah Akta itu, mereka yang didapati menjalankan perniagaan menyediakan khidmat urut dalam sebuah kedai urut tanpa lesen sah boleh didenda $10,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati melanggar syarat dan peraturan yang ditetapkan boleh didenda sehingga $5,000.
Pesalah berulang boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang melanggar langkah jarak selamat di bawah Peraturan (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) Covid-19 2020 boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda hingga $10,000 atau kedua-duanya.
Mereka yang membekalkan minuman keras atau menyediakan hiburan awam tanpa lesen sah boleh didenda sehingga $20,000 bagi setiap kesalahan.
Orang ramai dan perniagaan dinasihati agar mengambil langkah pengurusan selamat dengan serius, kata polis.
"Polis tidak akan bertoleransi terhadap tingkah laku tidak bertanggungjawab berkaitan pelanggaran langkah ini dan pesalah akan ditangani dengan tegas bertepatan dengan undang-undang," kata polis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg