HOSPITAL Besar Changi (CGH) mengesahkan seramai 14 kakitangannya - majoriti daripada mereka merupakan rakan perkhidmatan luar - telah dijangkiti Covid-19.
Kes jangkitan baru ini tidak berkait dengan kelompok hospital itu sebelum ini.
Kakitangan tersebut, yang telah dikenal pasti melalui ujian proaktif yang dijalankan hospital itu, mempunyai pejabat yang ditempatkan di tingkat bawah hospital berkenaan.
Menurut CGH, kesemua kakitangan yang positif itu tidak mempunyai kontak atau interaksi secara langsung dengan para pesakit semasa menjalankan tugas mereka.
Hampir semua juga telah mendapatkan vaksinasi sepenuhnya, dan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat yang ditetapkan, tambah hospital itu dalam satu kenyataanya semalam.
Memberi perkembangan terkini tentang keadaan kakitangannya, CGH berkata "tidak ada di antara mereka yang sakit teruk, terutamanya disebabkan oleh vaksinasi mereka".
"Hospital ini komited dalam memastikan keselamatan kakitangan, pesakit dan pengunjung kami.
"Langkah-langkah pencegahan seperti pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman di kawasan yang berkaitan juga telah selesai dijalankan, dan protokol kawalan jangkitan juga telah ditetapkan di sekitar kampus CGH," tambah hospital itu.
Sebagai langkah tambahan bagi mencegah penularan virus itu, CGH berkata ia telah pun menjalankan ujian swab terhadap kakitangan yang bekerja di tingkat bawah dan pada masa yang sama memastikan semua kakitangan hospital itu, termasuk rakan perkhidmatan luar, menjalani ujian pantas antigen (ART) selain menjalani rejim ujian rutin berjadual (RRT) yang dikenakan untuk kakitangan yang berdepan dengan pesakit.
Kakitangan yang dikenal pasti sebagai kenalan rapat telah diberikan cuti ketidakhadiran (LOA) atau arahan kuarantin (QO) sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan.
"CGH sedang bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan penyelidikan epidemiologi sedang dilakukan untuk kes positif tersebut.
"Kami akan terus memantau situasi dan meninjau serta memperkukuhkan lagi langkah-langkah semasa seiring dengan keperluan menjaga keselamatan pesakit dan kakitangan," kata CGH lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg