Topik diikuti
Pergi ke BHku14 kes Covid-19 dalam masyarakat, 2 kes tiada kaitan
14 kes Covid-19 dalam masyarakat, 2 kes tiada kaitan
TERDAPAT 23 kes Covid-19 baru di Singapura sehingga tengah hari semalam, menjadikan bilangan kes secara keseluruhan di sini mencecah 62,493 kes.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataanya semalam berkata, daripada kes-kes itu, 14 merupakan kes dalam masyarakat manakala baki sembilan kes adalah kes diimport.
Daripada 14 kes dalam masyarakat itu, terdapat dua kes yang tidak berkait. Baki 12 kes yang lain didapati berkait dengan kes yang sudah dikesan sebelum ini.
Dalam kalangan 12 pesakit itu, 11 kes sudah dikuarantin dan seorang pesakit itu dikesan menerusi usaha pemantauan
Empat daripada sembilan kes import membabitkan warga Singapura atau Penduduk Tetap yang pulang ke sini. Mereka sudah diarah menjalani Notis Jangan Keluar Rumah atau diasingkan setiba mereka di sini. Tiada kes dari dormitori pekerja yang dikesan semalam, kata MOH.
Malam kelmarin, MOH berkata seorang jururawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) telah diuji positif bagi virus itu pada Selasa lalu.
Wanita itu merupakan antara tiga kes tidak berkait yang diumumkan kelmarin dan didapati menghidap simptom seperti selsema dan sakit tekak pada malam Isnin lalu, kata MOH.
MOH berkata, jururawat itu kemudian mendapatkan rawatan perubatan pada hari selanjutnya di sebuah klinik pengamal perubatan yang mana beliau menjalani ujian pantas antigen (ART) dan ujian reaksi polimerase (PCR).
Keputusan ujiannya itu didapati positif pada hari yang sama dan beliau kemudian mula menghidapi demam pada lewat hari itu,
Keputusan PCR-nya juga didapati positif pada Selasa.
"Di tempat kerja, beliau memakai alat pelindungan peribadi dengan sepenuhnya, termasuk pelitup N95, pelindung muka, gogal dan sarung tangan," kata MOH lagi.
Kesemua ujian yang dijalankan kepadanya terlebih dahulu di bawah ujian rutin dijadual (RRT) - yang kali terakhir dijalankan pada 10 Jun - didapati negatif bagi jangkitan Covid-19.
Keputusan ujian serologinya juga negatif, bermakna jangkitannya itu adalah jangkitan baru.
Jururawat itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 29 Januari lalu dan dos kedua pada 20 Februari lalu.