Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

14 warga M'sia dijel kerana seludup rokok elektronik

Jul 7, 2021 | 5:30 AM
RAMPASAN E-ROKOK: Percubaan menyeludup e-rokok digagalkan oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas - Foto HSA
RAMPASAN E-ROKOK: Percubaan menyeludup e-rokok digagalkan oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas - Foto HSA -

SERAMAI 14 lelaki telah dihukum penjara sehingga dua bulan kerana menyeludup masuk rokok elektronik, atau e-vaporiser, dan barangan berkaitan bernilai sekitar $700,000 ke Singapura. Ini merupakan rampasan terbesar sejauh ini.

Lelaki tersebut, yang kesemuanya warga Malaysia berusia antara 22 dengan 54 tahun, dijatuhi hukuman itu kelmarin selepas cuba melakukan kesalahan tersebut pada 7 Jun dengan menyembunyikannya dalam tujuh lori berdaftar di Malaysia, yang digunakan untuk mengangkut ternakan ayam ke sini.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan media bersama berkata, siasatan mendapati lelaki-lelaki itu, yang kesemuanya merupakan pemandu lori dan kelindan daripada sebuah syarikat Malaysia yang sama, diarah membawa barangan tersebut ke satu lokasi yang ditetapkan di Singapura.

Mereka kemudian akan bertemu dengan seorang lelaki yang akan mengambil barangan terlarang itu.

Walaupun terdapat sekatan Covid-19 pada perjalanan dan pergerakan barang sejak awal 2020, penyeludupan rokok elektronik dan komponennya terus berlanjutan.

Laporan tahunan HSA pada 2017 dan 2018 menunjukkan bahawa 1,744 kes e-vaporiser dirujuk kepada agensi itu, tetapi angka ini meningkat kepada 1,930 kes pada tahun berikutnya. Kemudian, pada tempoh 2019 dan 2020, ia melonjak menjadi 4,676.

Vaping, yang ibarat merokok, dilarang pada 1 Februari 2018.

Jika sabit kesalahan, mereka yang menjual, memiliki untuk dijual, mengimport atau mengedarkan rokok elektronik dan barangan berkaitan boleh didenda sehingga $10,000, dijel sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Mereka yang mengulangi kesalahan boleh didenda sehingga $20,000, dihukum penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

HSA menyatakan ia akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mengimport produk tembakau terlarang seperti rokok elektronik dan barangan berkaitan.

Kesemua produk tembakau akan dirampas dan disita, menurut HSA.

Ia juga adalah satu kesalahan untuk memiliki, membeli atau menggunakan produk-produk tembakau. Hukuman bagi kesalahan tersebut adalah denda sehingga $2,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg