Kira-kira 140,000 rekod pemegang pas kerja terjejas dalam insiden keselamatan siber yang melanda portal Fullerton Health baru-baru ini, namun gangguan tersebut tidak menjejas maklumat kesihatan, perubatan atau kewangan peribadi pengguna.

Pencerobohan tersebut melibatkan akses tanpa kebenaran terhadap pelayan kendiri yang menyokong program Pelan Penjagaan Asas (PCP) Pekerja Migran penyedia penjagaan kesihatan itu.

Data yang berkemungkinan terdedah merangkumi nama penuh, nombor pengenalan warga asing, tarikh lahir, nombor telefon bimbit, alamat e-mel dan alamat kediaman.

Daripada jumlah rekod yang terjejas itu, sekitar 43,000 merupakan milik individu yang pas kerjanya tidak lagi sah, menurut kenyataan berasingan Fullerton Health Group (FHG) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 14 November.

FHG merupakan salah satu daripada empat pengendali utama yang dilantik oleh MOM untuk mentadbir PCP bagi pekerja migran.

Penyedia penjagaan kesihatan itu telah memaklumkan kementerian mengenai pencerobohan itu pada 2 November, dan memaklumkan orang awam mengenai insiden berkenaan pada 9 November.

FHG sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya mula menyedari insiden siber tersebut pada 31 Oktober.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), FHG pada 14 November berkata sejurus menyedari pencerobohan itu, pihaknya dengan segera mengasingkan pelayan kendiri terjejas serta melaksanakan langkah-langkah keselamatan di seluruh rangkaian sistemnya.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan, kumpulan itu sedang membina pelayan yang baharu sepenuhnya dengan ciri-ciri keselamatan diterapkan sejak mula bagi menempatkan portal pendaftaran PCP baharu.

“Pendekatan ini memastikan pelayan yang terjejas itu tidak akan digunakan,” kata FHG.

“Kami akan terus memantau landskap ancaman bagi penambahbaikan berterusan terhadap tahap keselamatan kami,” tambahnya.

Kedua-dua FHG dan MOM menegaskan bahawa insiden tersebut tidak menjejas akses pekerja migran terhadap PCP, dan mereka boleh terus mendapatkan rawatan perubatan seperti biasa.

PCP menyediakan penjagaan kesihatan yang mudah diakses dan mampu milik bagi pekerja yang layak di Singapura.

Majikan di sini diwajibkan membeli PCP untuk pemegang Permit Kerja dan Pas S tertentu, seperti mereka yang bekerja dalam sektor binaan, limbungan kapal marin atau pemprosesan.

FHG telah melaksanakan dua pusingan pemberitahuan melalui majikan bagi memaklumkan pekerja yang terjejas mengenai pencerobohan tersebut.

Para pekerja dinasihatkan supaya berwaspada terhadap e-mel, panggilan telefon, mesej teks atau bentuk komunikasi lain yang tidak diundang serta yang meminta maklumat peribadi mereka.

MOM turut memaklumkan pekerja yang terjejas secara terus dalam bahasa ibunda mereka melalui aplikasi mudah alih FWMOMCare bagi membantu mereka memahami situasi berkenaan serta langkah berjaga-jaga yang perlu diambil.

Siasatan awal oleh penyedia pemantauan keselamatan FHG, Logicalis, tidak menemui sebarang bukti keluarbiasaan atau pencerobohan pada aset teknologi maklumat (IT) lain yang dipantau, menurut kumpulan itu.

Dalam jawapan kepada pertanyaan media, MOM pada 14 November memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan FHG dalam menjalankan siasatan dan tindakan susulan.

Kementerian itu berkata pihaknya mewajibkan semua pengendali utama PCP dan kontraktor mereka mengekalkan langkah keselamatan data yang diperlukan bagi melindungi data peribadi pekerja migran.

Meskipun tiada insiden dilaporkan oleh tiga pengendali lain, kementerian telah mengingatkan semua pengendali supaya menyemak semula langkah keselamatan siber mereka dan kekal berwaspada.

Kementerian Kesihatan (MOH) turut mengarahkan agensi teknologi kesihatan negara, Synapxe, serta institusi penjagaan kesihatan awam supaya mempertingkat pemantauan merentasi sistem IT penjagaan kesihatan awam, sambil menggesa penyedia swasta dan vendor sistem maklumat kesihatan menyemak serta memperkukuh pertahanan mereka.