Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1.5 tan sayur, makanan diproses diimport secara haram dari M’sia dirampas

Mar 29, 2024 | 2:46 PM
Sayur dan buah yang dibawa masuk ke Singapura secara haram oleh dua lori dari Malaysia dirampas dalam operasi bersama SFA-ICA pada 25-26 Mac.
Sayur dan buah yang dibawa masuk ke Singapura secara haram oleh dua lori dari Malaysia dirampas dalam operasi bersama SFA-ICA pada 25-26 Mac. - Foto SFA

Agensi Makanan Singapura (SFA) merampas sekitar 1.5 tan produk segar dan makanan diproses yang diimport secara haram dari Malaysia, dalam satu operasi yang dijalankan bersama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Dalam satu kenyataan bersama pada 29 Mac, SFA dan ICA berkata mereka melaksanakan operasi pada 25-26 Mac, apabila mereka memantau lori penghantar sayur yang memasuki Singapura menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Lori-lori itu biasanya menghantar produk yang diagihkan secara langsung kepada penjual runcit dan pelanggan, menurut kenyataan itu.

Semasa operasi, pegawai ICA merujuk dua lori kepada SFA untuk pemeriksaan susulan selepas mereka mendapati ada perkara yang tidak kena dalam barangan yang dibawa.

SFA menemui sekitar 1.5 tan produk segar yang tidak diisytihar atau kandungannya yang diisytihar lebih rendah. Produk itu termasuk sayur bayam, cili padi, daun bawang, terung, bawang putih dan kubis, yang dibawa masuk oleh tiga pengimport menggunakan dua lori.

Semua barang import yang dibawa masuk ke Singapura secara haram telah dirampas.

Di Singapura, sayur dan buah-buahan hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen dan setiap bongkah harus diisytihar dan disertakan dengan permit import yang sah, kata kenyataan itu.

Ia menambah bahawa sayur yang diimport secara haram itu tidak diketahui sumbernya dan boleh mendatangkan risiko keselamatan makanan. Sebagai contoh, ia boleh mengandungi kadar racun serangga yang tinggi.

“Pada jangka panjang memakan sayur mengandungi sisa racun serangga keterlaluan boleh menyebabkan kesan kesihatan yang berbahaya,” ujar SFA dan ICA dalam kenyataan tersebut.

Orang yang didapati bersalah mengimport buah dan sayur segar boleh dikenakan denda hingga $10,000 dan penjara hingga tiga tahun atau kededua hukuman.

Mereka yang didapati bersalah mengimport buah dan sayur yang diproses boleh didenda hingga $1,000 sementara pesalah berulang boleh didenda hingga $2,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg