Topic followed successfully
Go to BHku1.5j warga SG akan terima baucar GST bulan depan
1.5j warga SG akan terima baucar GST bulan depan
1.5j warga SG akan terima baucar GST bulan depan

SERAMAI 1.5 juta warga Singapura akan menerima wang tunai sehingga $700 bulan depan, sebagai sebahagian daripada pakej bernilai $1.5 bilion bagi membantu warga Singapura mengharungi tekanan inflasi yang kian meningkat.
Pakej dalam bentuk Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) - Tunai biasa dan Bayaran Khas GSTV - Tunai itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bulan lalu.
Bayaran GSTV - Tunai biasa juga telah dipertingkat, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan lalu.
Berbanding dengan tahun lalu, bayaran GSTV - Tunai biasa itu adalah $100 lebih tinggi.
Had kelayakan pendapatan yang dinilai juga telah diluaskan, agar dapat dimanfaatkan lebih ramai warga Singapura.
Mulai bulan depan dan sebagai sebahagian daripada skim GSTV, sekitar 575,000 warga dewasa Singapura yang layak berusia 65 tahun ke atas mulai tahun ini, akan menerima sehingga $450 yang dimasukkan ke Akaun Medisave CPF mereka.
Menyatakan demikian dalam kenyataan medianya semalam, Kementerian Kewangan (MOF) berkata selain daripada bayaran GSTV, warga Singapura yang dilahirkan pada atau sebelum 31 Disember 1969 (berusia 53 tahun ke atas tahun ini) dan belum menerima manfaat Generasi Perintis atau Generasi Merdeka akan menerima $100 yang akan dimasukkan ke Akaun Medisave CPF pada akhir bulan depan.
Ini merupakan tahun keempat warga dewasa yang layak ini akan menerima tokokan tahunan Medisave untuk tempoh lima tahun bermula 2019 hingga tahun depan, yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 yang lalu.
Bayaran GSTV - Tunai dan GSTV - Medisave itu adalah sebahagian daripada sokongan berterusan pemerintah bagi warga Singapura yang berpendapatan rendah dan warga senja, bagi membantu perbelanjaan GST serta kos kehidupan mereka.
"Warga Singapura yang layak akan menerima Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), dua kelompok rebat bagi perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) dan U-Save, serta tokokan kepada akaun Edusave/Akaun Pendidikan Posmenengah awal tahun ini.
"Mereka boleh jangkakan sokongan lanjutan dalam bentuk bayaran tunai, kredit utiliti, tokokan Akaun Pembangunan Anak (CDA) dan lagi dua kelompok rebat bagi U-Save dan S&CC dalam bulan-bulan mendatang.

