SEBANYAK 16 kes Covid-19 baru dalam masyarakat dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam, termasuk lapan kes yang dikaitkan dengan jururawat warga Filipina yang bertugas di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
Ini bermakna ada sembilan kes Covid-19 yang dikaitkan dengan hospital itu pada masa ini, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Wad di mana jururawat itu bertugas, Wad 9D, telah ditutup dan semua pesakit di sana diuji bagi Covid-19, kata MOH.
Menambah, MOH berkata sebagai langkah berjaga-jaga, semua kakitangan di wad-wad TTSH akan diuji bagi jangkitan Covid-19.
"Semua kontak rapat kes-kes, termasuk pesakit, pelawat dan kakitangan yang telah memasuki Wad 9D akan dikenakan kuarantin.
"Pelawat tidak akan dibenarkan memasuki wad di hospital itu semasa siasatan sedang berlangsung," kata MOH dalam kenyataannya semalam.
Semalam, TTSH berkata ia tidak akan membenarkan pelawat memasuki wadnya sehingga makluman lanjut, selepas seorang jururawat, seorang doktor dan tiga pesakit diuji positif bagi Covid-19, yang membayangkan kemungkinan satu kelompok jangkitan baru di sana.
"Ini adalah langkah-langkah wajar untuk mengekang keadaan dan melindungi pesakit dan kakitangan," kata hospital tersebut.
Jururawat warga Filipina berusia 46 tahun itu dikenal pasti sebagai kes dalam masyarakat pada 27 April, menerusi ujian proaktif yang dijalankan MOH terhadap pesakit dan kakitangan di wad yang terjejas itu. Lagi empat orang di TTSH didapati positif bagi Covid-19 menerusi ujian awal. Semua pesakit di wad yang terjejas telah menjalani ujian swab dan diasingkan, kata TTSH.
Lagi tujuh kes dalam masyarakat sehingga 12 tengah hari semalam adalah anggota keluarga pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang bertugas di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi. Mereka telah pun dikuarantin.
Keseluruhan, 35 kes Covid-19 baru dilaporkan di Singapura, termasuk 19 kes diimport. Kes-kes ini telah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) setibanya di sini.
Semalam, lima masjid - Masjid Al-Falah, Hajjah Fatimah, Abdul Hamid Kampung Pasiran, Yusof Ishak dan Al-Iman - ditutup sehari untuk menjalani pembersihan dan pembasmian kuman selepas mereka dikunjungi individu yang dijangkiti Covid-19.
Ini menyusuli penutupan Masjid Petempatan Melayu Sembawang selama dua hari pada awal minggu.
KENYATAAN MUIS
ENAM masjid yang telah ditutup minggu ini untuk dibersihkan dan membasmi kuman akan dibuka semula hari ini, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Dalam kenyataannya, Muis berkata ia telah diberitahu individu yang diuji positif bagi Covid-19 telah pergi ke masjid-masjid tersebut.
Individu ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom semasa memasuki masjid, kata Muis.
"Muis akan terus memantau keadaan dan akan membuat penyesuaian yang sewajarnya pada kegiatan masjid dan langkah pengurusan selamat jika ia diperlukan."
LAPORAN LANJUT: 6 masjid ditutup selepas dikunjungi kes positif Covid-19


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg