Kira-kira 160 pelajar madrasah dan ibu bapa telah menyelami warisan India Islam di Singapura melalui acara, ‘Roots & Routes: The Wakaf Jamae Heritage Trail’, yang diadakan pada 25 Oktober di sekitar kawasan Chinatown dan Telok Ayer.

Dalam satu kenyataan media oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 29 Oktober, acara jejak warisan yang dianjurkan Warees Investments serta disokong oleh Masjid Jamae Chulia, Masjid Al-Abrar dan Pusat Warisan India Islam Nagore Dargah itu telah membawa peserta ke enam tapak warisan dan wakaf.

Ia termasuk Masjid Jamae Chulia dan Masjid Al-Abrar serta Jamae Chulia Heritage yang baru dibuka pada 24 Oktober.

Acara jejak warisan itu telah dilancarkan Anggota Lembaga Pengarah Warees, Dr Abdul Razak Chanbasha, di Masjid Jamae Chulia Community Plaza.

Melalui kegiatan berpandu, peserta dapat mengenali sumbangan generasi perintis India Islam dan sekali gus dapat memahami bagaimana sumbangan wakaf terus menyokong institusi keagamaan dan kemasyarakatan hari ini.

Sebagai sebahagian pengalaman di acara tersebut, pelajar diajak untuk membayangkan satu ‘wakaf untuk Singapura pada 2050’.

Beberapa idea yang mereka mencadangkan seperti ‘Madrasah Hijau Mesra Alam’ dan ‘Makmal Teknologi Belia’, mencerminkan bagaimana semangat memberi mampu menyuntik inspirasi dalam diri generasi akan datang untuk berbakti kepada masyarakat.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti