LAGI 170 pelajar yang telah menunjukkan prestasi baik bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun lalu akan menerima Anugerah Tuisyen Bersama Badan Bantu Diri oleh Mendaki. Ini setelah Mendaki menyedari kesilapan yang berlaku semasa proses penukaran data yang menyebabkan ia tidak mengambil kira 170 pelajar itu yang sepatutnya layak menerima anugerah tersebut. Seramai 785 pelajar telah menerima anugerah mereka di satu majlis dalam talian pada 29 Ogos lalu.

Anugerah itu diberi kepada pelajar yang telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi akademik mereka dan dibuka kepada mereka yang mengikuti Program Tuisyen Kerjasama anjuran kumpulan badan bantu diri. Dalam satu kenyataan pada Isnin (14 September), Mendaki berkata ia mengakui kesilapannya dan telah meminta maaf kepada pelajar terbabit dan keluarga mereka. "Mendaki ingin meyakinkan masyarakat bahawa ia mengambil pelajaran daripada ini dan kini sedang menyemak proses dan prosedur operasi standard untuk memastikan kejadian sedemikian tidak berulang," katanya. Mendaki menambah, ia telah menghubungi pelajar berkenaan dan keluarga mereka dan susunan khas akan dibuat untuk pelajar menerima anugerah itu.