Seramai 176 individu ditangkap Penguasa Sains Kesihatan (HSA) kerana memiliki rokok elektronik atau e-vaporiser di festival ZoukOut 2023 dari 2 hingga 3 Disember.
Antara yang ditangkap dalam serbuan di festival muzik di pantai Siloso, Sentosa, itu berusia antara 18 dengan 51 tahun.
Kesemua mereka dikenakan denda dan semua alat rokok elektronik dirampas, kata HSA pada 8 Disember.
Memiliki rokok elektronik adalah dilarang di Singapura dan serbuan itu adalah sebahagian usaha menguatkuasakan larangan tersebut.
HSA menambah, ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang menjalankan kegiatan haram seperti menjual rokok elektronik kepada orang ramai.
Membeli, menggunakan dan memiliki produk itu di Singapura adalah satu kesalahan. Pesalah boleh didenda hingga $2,000 bagi setiap kesalahan.
Maklumat berkenaan produk tembakau yang terlarang boleh didapati di laman web HSA. Maklumat lanjut tentang kesan bahaya penggunaan vape boleh diperoleh daripada artikel HealthHub ini.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mengimport, mengedar, menjual atau tawaran untuk menjual rokok elektronik secara haram boleh menghubungi Cawangan Peraturan Tembakau HSA di 6684-2036 atau 6684-2037 pada waktu pejabat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg