Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$18.6j Dana Eko SG diagih kepada 350 projek mampan sejak 2020

Jun 21, 2025 | 3:02 PM
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, (barisan depan, empat dari kiri) dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, (barisan depan, tiga dari kanan) bersama penerima geran Dana Eko SG di Vidacity pada 21 Jun.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, (barisan depan, empat dari kiri) dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, (barisan depan, tiga dari kanan) bersama penerima geran Dana Eko SG di Vidacity pada 21 Jun. - Foto ST

Dana berjumlah $18.6 juta telah diagihkan kepada lebih 350 individu, kumpulan dan pertubuhan bagi inisiatif yang mereka perkenalkan untuk menggalak kemampanan di Singapura sepanjang lima tahun kebelakangan.

Memberi kemas kini tentang Dana Eko SG, sebuah geran $50 juta yang dilancarkan pada November 2020, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata dana itu telah menjangkau kepada lebih 700,000 orang melalui usaha berkaitan kemampanan.

Inisiatif itu termasuk pengurangan sisa dan pendidikan kemampanan.

Dalam ucapannya di acara sambutan ulang tahun kelima Dana Eko SG di Vidacity pada 21 Jun, Cik Fu berkata tindakan iklim tidak hanya bergantung kepada dasar pemerintah, tetapi juga pilihan setiap hari yang dibuat warga Singapura.

“Inilah sebabnya kami melancarkan Dana Eko SG, setelah menyedari bahawa dasar itu sendiri tidak mencukupi. Kami benar-benar memerlukan tindakan dari masyarakat... kami memerlukan penerimaan dalam masyarakat,” katanya.

Dana Eko SG bertujuan menyokong penciptaan huraian secara bersama bagi mewujudkan Singapura yang mampan.

Ia dibuka kepada sektor rakyat, swasta dan awam atau 3P, dan bertujuan menyokong projek yang melibatkan masyarakat dan memajukan kemampanan alam sekitar di Singapura.

Menurut Cik Fu, satu laporan baru-baru ini tentang kesan Dana Eko SG menunjukkan bahawa 90 peratus daripada mereka yang ditinjau berpuas hati dengan kegiatan yang dijalankan, dan majoriti mereka lebih bersedia menerima pakai amalan mampan.

Cik Fu berkata beliau teruja melihat lebih banyak projek bertapak dalam masyarakat dan berkembang melangkaui skop awal mereka.

Misalnya, penerima geran Repair Kopitiam melatih penduduk menjadi orang yang boleh membuat kerja rencam dan membantu jiran mereka semasa pandemik Covid-19.

Hari ini, Repair Clinic dan Repair Kampung dijalankan di lebih 10 lokasi, dengan 300 jurulatih dan 6,000 sukarelawan bagi mengatasi budaya membuang barang selepas digunakan.

Cik Fu turut mengumumkan peningkatan kepada kategori Sprout dalam Dana Eko SG. Kategori itu menyokong projek berskala lebih kecil.

Sempena sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), jumlah maksimum geran dalam kategori Sprout telah dinaikkan daripada $8,000 kepada $30,000 bagi projek yang diserahkan sepanjang 2025.

Lebih 90 permohonan telah dibuat antara Januari dengan April 2025 – bilangan tertinggi yang diterima dalam tempoh empat bulan sejak kategori itu dilancarkan pada 2021.

“Kami melakukan ini sebagai tindak balas kepada keinginan anda untuk menganjurkan projek yang lebih besar dan untuk mendekati lebih ramai anggota masyarakat... dan sebahagiannya untuk meraikan semangat SG60, di mana setiap daripada kita boleh memainkan peranan dalam membangunkan Singapura,” kata Cik Fu.

Di acara sambutan itu, sekitar 20 penerima geran memaparkan projek Dana Eko SG mereka serta usaha mereka mendampingi masyarakat bagi menggalak kemampanan.

Satu daripada penerima geran itu ialah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang telah memasang kebun hidroponik di bumbung untuk menggalak relawan dalam masyarakat Melayu/Islam bercucuk tanam dan mengambil bahagian dalam kegiatan berkaitan kemampanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg