Satu rombongan delegasi seramai 18 asatizah dari Nahdlatul Ulama (NU) Bawean, Lembaga Pendidikan Ma’arif NU Bawean, Indonesia, telah mengadakan lawatan selama lima hari ke Singapura bermula 23 hingga 27 Julai lalu.
Antara lain kumpulan tersebut telah mengunjungi beberapa masjid serta madrasah di Singapura.
Kumpulan itu diberi layanan oleh Kelab Pondok Peranakan Gelam (Pondok Gelam) yang menjadi hos lawatan mereka itu.
Lawatan mereka bermula dengan pertemuan bersama anggota pemimpin Kelab Pondok Peranakan Gelam (Pondok Gelam) bagi mengeratkan lagi hubungan antara NU Bawean dengan Pondok Gelam.
Mereka juga mengunjungi dan bertemu Imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Al-Attas, selain berkesempatan bertemu wakil Singapura bukan bermastautin ke Palestin, Encik Hawazi Daipi dan Presiden Persatuan Bawean Singapura (PBS), Encik Faizal Wahyuni.
Mereka berkesempatan bertukar-tukar pandangan dan mengatur kerjasama semasa kunjungan mereka itu.
Di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan Masjid Al-Mukminin kumpulan pelawat itu diberikan taklimat tentang peranan masjid dan madrasah setempat dalam membangun kesejahteraan serta kehidupan beragama bagi Muslim Singapura.
Di samping itu, mereka juga didedahkan tentang cara hidup masyarakat berbilang kaum di sini.
Menurut Setiausaha Agung Kehormat Pondok Gelam, Encik Borhan Saini, yang juga bertindak sebagai pegawai pengiring kunjungan NU Bawean ini, kunjungan tersebut meningkatkan pengetahuan yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak.
Ketua Rombongan NU Bawean, Ustaz Ali Subhan, merasakan lawatan tersebut dianggap satu pengalaman yang berharga yang diperolehi kumpulannya.
Mereka mengharapkan akan ada tindakan susulan hasil daripada lawatan ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg