Topik diikuti
Pergi ke BHku18 lagi kematian Covid-19 di S'pura; 3,862 jangkitan baru
SERAMAI 18 warga Singapura, berusia antara 55 dengan 96 tahun, meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menjadikan jumlah kematian di sini akibat virus itu sebanyak 264. Mereka yang terkorban itu terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (20 Okt). Ini adalah bilangan kematian tertinggi yang dicatat dalam sehari. Lapan daripada mereka tidak divaksin, sembilan telah divaksin sepenuhnya dan satu lagi baru menerima satu dos vaksin. Seramai 17 daripada mereka mempunyai kondisi perubatan yang membuat mereka lebih rentan, kata MOH, manakala baki satu adalah kes yang belum divaksin dan tidak mempunyai kondisi perubatan yang diketahui. Kematian berkaitan dengan Covid-19 telah dicatat setiap hari sejak 20 September. Terdapat 3,862 jangkitan Covid-19 baru secara keseluruhan, terdiri daripada 3,221 kes masyarakat baru, 630 di asrama pekerja migran dan 11 kes yang diimport. Kes masyarakat termasuk 568 orang berumur lebih 60 tahun. Jumlah kes di Singapura kini 158,587. Di kalangan kelompok besar yang dipantau, empat mempunyai kes baru. Rumah penjagaan warga emas Bukit Batok Home for the Aged mempunyai 39 kes baru, menjadikan keseluruhan 92 kes. Dua kes baru ditambah ke rumah masyarakat bagi warga emas AWWA di Ang Mo Kio, menjadikan jumlah 21 kes. MWS Christalite Methodist Home di Marsiling dan Acacia Home di Admiralty masing-masing mempunyai satu kes baru. Pada Rabu, terdapat 17,084 pesakit dalam pemulihan rumah, 3,941 di kemudahan penjagaan masyarakat dan 887 di kemudahan rawatan Covid-19. Terdapat 1,718 pesakit di hospital, dengan 337 pesakit memerlukan sokongan oksigen. Terdapat 67 pesakit di unit jagaan rapi. Sejauh ini, 84 peratus penduduk telah divaksin sepenuhnya dan 85 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Sejumlah 622,452 orang telah menerima suntikan penggalak mereka dan 92,000 lagi telah membuat janji temu.
